PUSAT membeli-belah kini terus stabil dengan jumlah pelanggan mencapai 90% sejak ia dibuka untuk perniagaan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata persatuan mereka.
Bagaimanapun Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) berkata peningkatan jumlah pengunjung tidak menghasilkan jumlah jualan yang tinggi apabila pusat membeli-belah hanya melihat jualan antara 50% hingga 70% disebabkan pembelian yang lebih berhati-hati dan penurunan kapasiti susulan prosedur operasi standard kerajaan.
Walaupun pusat membeli-belah sedikit terjejas susulan laporan kes Covid-19 yang melibatkan premis berkenaan, keadaan akan kembali pulih setelah kerja-kerja sanitasi dilakukan dan mendapat kebenaran pihak berkuasa kesihatan.
Presiden PPK Teo Chiang Kok berkata peningkatan jumlah pengunjung menyebabkan pendapatan pusat membeli-belah pulih walapun pada kadar yang lebih perlahan.
“Ini terganggu oleh insiden beberapa pekerja yang dijangkiti virus berkenaan.
“Kami yakin untuk kembali beroperasi setelah premis dibersihkan oleh pihak berkuasa kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau merujuk kepada kes yang dilaporkan mengenai beberapa pekerja di lima pusat membeli-belah yang positif di Lembah Klang bulan lalu.
Teo berkata pembukaan semula pusat membeli-belah menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung yang stabil sehingga 90%.
“Baru-baru ini apabila peruncit melaporkan kes Covid-19 di dalam premis mereka, reaksi awal orang ramai adalah mereka hanya akan mengunjungi pusat membeli-belah yang terjejas untuk pembelian tertentu tetapi selepas ia dibuka semula, mereka kembali yakin untuk keluar ke pusat membeli-belah,” katanya.

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia mempunyai kira-kira 500 ahli di seluruh negara merangkumi pusat perniagaan, individu dan lain-lain.
Teo berkata sejak awal pusat membeli-belah sudah memperkenalkan SOP yang dikeluarkan kerajaan untuk membendung penyebaran Covid-19 dengan pemantauan ketat di pintu masuk.
“Pengunjung boleh mengimbas Kod QR atau menulis butiran diri di buku rekod, menjalani pemeriksaan suhu dan memastikan mereka memakai topeng.
“Kami juga mengingatkan pengusaha perniagaan untuk terus melakukan pemeriksaan masuk yang ketat dan penjarakan sosial, kawalan kemasukan jumlah pengunjung ke premis, meningkatkan kekerapan prosedur pembersihan,” katanya.
Lee bagaimanapun berkata walaupun peningkatan jumlah pengunjung yang tinggi, hasil jualan hanya kembali antara 50% hingga 70% disebabkan oleh pembelian yang lebih berhati-hati memandangkan ketidaktentuan ekonomi serta keadaan wabak.
“Penjarakan sosial juga menyebabkan kapasiti kedai yang dibenarkan hanya antara 40% hingga 50%,” katanya.
Beliau berkata trend pembeli yang mengunjungi pusat membeli-belah adalah untuk bahan keperluan, makanan dan penjagaan diri.
“Semasa awal pembukaan pusat membeli-belah, kebanyakan mereka bertumpu membeli barang keperluan tetapi dalam waktu singkat ramai yang ke situ untuk bersantai,” katanya. – 10 Oktober, 2020.
Komen