BRAZIL melepasi 5 juta jangkitan koronavirus pada Rabu dan menghampiri 150,000 kematian akibat penyakit itu, ketika keyakinan bahawa jangkitan virus semakin perlahan di negara Amerika Selatan itu.
Kementerian Kesihatan melaporkan 31,553 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 5,000,694 kes, di belakang Amerika Syarikat (AS) dan India.
Negara dengan penduduk 212 juta orang itu juga menyaksikan 734 kematian baharu pada Rabu, meragut 148,228 nyawa sejak negara itu mencatatkan kematian pertama pada Mac.
Brazil mempunyai angka kematian kedua tertinggi di dunia akibat penyakit ini selepas AS.
Bagaimanapun, lengkungan jangkitannya kelihatan menurun. Purata jumlah kematian setiap hari selama seminggu terakhir adalah 610. Purata harian jarang menurun di bawah 1,000 sehari sejak Jun hingga Ogos.
Negara ini menyaksikan purata 27,000 jangkitan baharu setiap hari selama seminggu terakhir. Puratanya melebihi 40,000 pada awal September.
Tetapi para pakar bersetuju walaupun mengalami penurunan, keadaan di Brazil tetap “membimbangkan.”
Penurunan jumlah kes “belum boleh diterima,” kata ahli epidemiologi Universiti Brasilia, Mauro Sanchez kepada AFP.
“Oleh itu, terdapat trend penurunan awal, tetapi masih belum dapat dipastikan,” katanya. – AFP, 8 Oktober, 2020.
Komen