Trump kembali bertugas, 6 hari selepas positif Covid-19


Presiden AS Donald Trump menanggalkan pelitup muka sebaik sahaja turun dari helikopter di White House, selepas keluar dari hospital. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2020.

PRESIDEN AS Donald Trump kembali bekerja di Oval Office pada Rabu, enam hari selepas diuji positif Covid-19, kata White House.

Jurucakap Trump, Brian Morgenstern berkata, presiden diberi taklimat mengenai rundingan rangsangan ekonomi dan perkembangan Taufan Delta yang menuju ke Pantai Teluk AS.

Tindakan presiden - yang dirawat di hospital pada Jumaat dengan Covid-19 dan didiscaj pada Isnin - sedang dipantau kerana jumlah kes positif terus meningkat di kalangan mereka yang bekerja di White House.

Tindakannya keluarnya dari hospital, seperti cara beliau menangani wabak yang membunuh lebih 210,000 orang di AS, mencetuskan kontroversi.

Sebaik sahaja turun dari helikopter di White House, beliau menaiki tangga kediamannya dan menanggalkan pelitup muka.

“Jangan biarkan ia menguasai kamu. Jangan takut,” kata beliau kepada rakyat Amerika ketika berucap sempena kepulangannya, merujuk kepada virus itu.

Menjelang Rabu, doktornya melaporkan presiden bebas daripada gejala Covid-19 selama 24 jam dan tidak demam dalam masa empat hari.

“Presiden pagi ini berkata ‘Saya berasa hebat’,” kata doktor Sean Conley dalam satu perkembangan ringkas.

Trump berikrar untuk kembali berkempen dan akan mengambil bahagian dalam debat presiden kali kedua menentang lawannya, Joe Biden di Miami pada 15 Oktober.

Presiden berdepan jumlah undi yang teruk menjelang pilihan raya 3 November, yang tiba ketika ekonomi bergelut untuk pulih akibat penutupan Covid-19 yang menyebabkan banyak keluarga dan perniagaan terjejas. – AFP, 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen