PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mungkin tidak akan mengadakan pilihan raya umum awal tahun ini berikutan situasi penularan wabak Covid-19 yang semakin buruk walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) agak goyah dan memerlukan mandat yang lebih kukuh, kata penganalisis.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin mungkin menyedari risiko menjadikan situasi Covid-19 lebih buruk walaupun pada awalnya beliau mungkin akan mengadakan pilihan raya umum pada akhir tahun ini.
Menurut penganalisis, pilihan raya mungkin akan diadakan pada suku pertama tahun depan, sekaligus memberi kerajaan Muhyiddin masa untuk Belanjawan 2021 dibentangkan pada November, dan untuk kerajaan meratakan lengkungan pandemik.
Pilihan raya seterusnya perlu dijalanan sebelum 2023 namun pada September lalu Muhyiddin berkata kemenangan PN pada piihan raya negeri Sabah akan menentukan sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya. Ini ketika kajian Merdeka Centre menyatakan Muhyiddin meraih 69% populariti.
Ketika gabungannya – yang dilabel semula sebagai Gabungan Rakyat Sabah – memenangi pilihan raya negeri Sabah dengan majoriti mudah, negara pula berdepan gelombang baharu Covid-19 sejak pilihan raya itu.
Muhyiddin pada Selasa turut mengakui pilihan raya Sabah menyumbang kepada kes jangkitan baharu.
Timbul desas-desus pilihan raya awal kerana kerajaan Muhyiddin berdepan tekanan daripada sekutunya dalam Umno dan juga pembangkang, terutamanya selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim seara terbuka mendakwa mempunyai sokongan yang kukuh di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.
“Kemungkinan pilihan raya umum diadakan tahun ini adalah mustahil kerana kes Covid-119 sedang meningkat dan sudah pasti risikonya tinggi,” kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Awang kerajaan Muhyiddin masih tidak stabil dan ia hanya bertahan kerana pandemik.
“Covid-19 selamatkan Muhyiddin daripada mengadakan pilihan raya awal dan ia memanjangkan hayat PN, mungkin hingga habis penggal,” katanya.
Penganalisis S Rajaratnam School of International Studies Singapura, Prashant Waikar berkata berkemungkinan pilihan raya akan diadakan tahun depan.
“Saya percaya paling awal pilihan raya diadakan mungkin pada tahun depan. Jika ada perancangan untuk adakan lebih awal, mereka mungkin akan tangguhkan kerana Covid-19.
“Di luar pilihan raya, yang saya yakin pada tempoh penggal Muhyiddin, saya merasakan tidak mungkin akan ada perubahan kerajaan yang lain,” katanya.
Sementara itu Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun berkata Muhyiddin hanya akan mengadakan pilihan raya selepas membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen.
“Saya rasa kemungkinan pilihan raya awal akan diadakan kemudian tahun ini…awal November kerana perlu bentangkan belanjawan.
“Itu kemungkinan sekiranya Muhyiddin tidak yaking dengan sokongan utnuk luluskan belanjawan. Belanjawan boleh diterjemahkan sebagai undi percaya,” katanya.
Kelebihan Umno

Penganalisis politik turut berpandangan sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang, Umno akan ada kelebihan besar kerana sokongan Melayu akan beralih kepada mereka.
Oh berkata kerjasama Umno dengan PAS akan memberi kelebihan kepada mereka kerana mereka akan menyatukan undi di kawasan yang sebelum ini disaingi kedua-dua parti.
“Umno mahu pilihan raya awal kerana ia yakin bahawa kerjasama dengan PAS akan meraih lebih banyak undi Melayu. Pada PRU14, sekiranya mereka bekerjasama dengan PAS, mereka mungkin mendapat 75% undi.
“Kini kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama rapat kerana yakin mereka akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding sebelum ini. Mereka sememangnya memacu gabungan ini daripada bergantung pada Muhyiddin,” katanya.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata Umno tidak akan menyokong Anwar untuk jatuhkan kerajaan PN.
Ia lebih kepada memaksa Muhyiddin untuk mengadakan pilihan raya awal, tambahnya.
“Saya setuju dengan Umno untuk mengadakan pilihan raya awal. Muslihat Umno untuk beri sokongan kepada Anwar bukan untuk menyokongnya sebaliknya untuk jadikan Muhyiddin hilang majoriti dan memaksanya mengadakan pilihan raya awal,” kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insight.
Kemungkinan untuk Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Anwar dan parti komponen pembangkang lain memenangi pilihan raya umum akan datang adalah tipis kerana undi Melayu akan beralih kepada PN dan Umno, katanya.
Prashant berkata cubaan pada pilihan raya negeri Sabah dengan Warisan adalah bukti PH tidak akan dapat mengulangi apa yang dilakukannya pada pilihan raya umum 2018 dan ia juga sama di Semenanjung.
“Saya merasakan kemungkinan pembangkang akan berdepan waktu yang sukar dalam pilihan raya awal. Memandangkan bagi kebanyakan orang Melayu PH tidak menunjukkan prestasi yang baik, cubaan terbaik adalah dengan mendapatkan sokongan di Timur Malaysia.
“Bagaimanapun, keputusan pilihan raya Sabah mencadangkan bahawa negeri itu berpecah antara kerajaan dan pembangkang. Saya merasakan kemungkinan PH untuk memenangi pilihan raya umum adalah tipis,” katanya. – 8 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen