MENTERI Kanan Azmin Ali menafikan beliau diuji positif Covid-19 selepas spekulasi di media sosial mengenai status kesihatannya sejak semalam.
Menerusi Twitter, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau telah menjalani dua ujian swab Covid-19 dan kedua-duanya negatif.
Ahli Parlimen Gombak ini berkata beliau kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Banyak spekulasi mengenai status kesihatan saya. Saya telah menjalani dua ujian Covid-19. Alhamdulillah keputusan kedua-dua ujian adalah negatif.
“Saya akan meneruskan kuarantin kendiri sehingga ujian Covid-19 yang ketika dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya,” tulisnya di Twitter.
Malah katanya beliau masih menjalankan tugas menteri walaupun berada di rumah.
“Meneliti dokumen dan surat sambil dikuarantin di rumah. Terima kasih kerana ramai yang prihatin dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saya sekeluarga,” tulisnya di Twitter.
Spekulasi mengenai kesihatan Azmin di media sosial meningkat sejak beberapa hari lalu apabila beliau tidak menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional pada Sabtu.
Semua yang hadir dalam mesyuarat itu telah diarahkan menjalani kuarantin selepas Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19. – 7 Oktober, 2020.
Komen