PROSES ujian saringan ke atas kontak rapat banduan yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Penjara Reman Pulau Pinang di George Town semalam masih berjalan dan akan diteruskan sehingga kesemua yang terbabit disaring, kata Pengarahnya Mohamed Jusoh.
Beliau berkata kesemua mereka yang merangkumi banduan dan petugas penjara telah diasingkan selepas kes kematian banduan tersebut disahkan positif Covid-19.
“Saya tidak boleh maklumkan jumlah mereka yang diasingkan cuma saya boleh beritahu memang ada (petugas dan banduan) yang kontak rapat dengan si mati telah dikuarantin malah turut menjalani ujian saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.
“Hari ini ada lagi (petugas dan banduan) yang menjalani ujian saringan Covid-19 di dalam penjara malah pengarah hospital (Pulau Pinang) turut hadir untuk membuat pemantauan di dalam penjara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohamed Jusoh berkata setakat ini keadaan mereka yang dikuarantin adalah baik dan tidak menunjukkan sebarang gejala.
Ketika ini terdapat kira-kira 2,300 banduan dan 320 kakitangan di Penjara Reman Pulau Pinang.
“Setakat ini pihak KKM belum dapat maklumkan banduan yang meninggal dunia itu mendapat jangkitan Covid-19 daripada mana… berdasarkan maklumat penjara, pergerakan terakhir si mati (keluar daripada penjara) ialah pada 9 September dan tiada lagi selepas itu,” tambahnya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan pintu masuk institusi itu mendapati terdapat pergerakan masuk dan keluar kenderaan KKM termasuk kereta yang membawa Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Asmayani Khalid.
Difahamkan petugas kesihatan mula masuk ke dalam penjara itu pada 9 pagi tadi bagi membuat ujian saringan Covid-19 kepada petugas dan banduan di situ.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 85 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, warga emas itu turut mempunyai penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.
Pengesahan Dr Noor Hisham itu menyusuli laporan terdahulu yang menyatakan seorang banduan berusia 85 tahun meninggal dunia dipercayai berkaitan Covid-19. – Bernama, 7 Oktober, 2020.
Komen