Penduduk Hulu Langat gesa pemaju lebuh raya segerakan kerja pemulihan


Noel Achariam

Projek pembinaan Lebuhraya Lembah Klang bernilai RM1.55 bilion menjejaskan kehidupan penduduk sekitarnya yang berdepan risiko banjir kilat dan tanah runtuh apabila hujan turun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Disember, 2017.

HUJAN dan ribut petir menyebabkan penduduk kampung di Hulu Langat, Selangor berhampiran lokasi di mana Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) bernilai RM1.55 bilion sedang dibina, tidak lena tidur.

Penduduk Felcra Semungkis, Kampung Sungai Gahal dan Kampung Sungai Michu pernah mengalami banjir kilat dan tanah runtuh apabila pembinaan EKVE bermula pada September 2016, dan dengan musim hujan sekarang, mereka bimbang lebih banyak bencana akan berlaku.

Perintah menghentikan kerja oleh Jabatan Alam Sekitar dikenakan sejak 24 Oktober tahun ini sementara kerja pemulihan dilakukan, tetapi penduduk ingin pemaju EKVE Sdn Bhd lebih bertanggungjawab untuk mempercepatkan kerja-kerja pemulihan.

Pemaju akan mengadakan sidang akhbar hari ini mengenai status projek serta hasil pertemuan dengan pihak dewan bandar raya baru-baru ini dengan penduduk.

Bagi Isa Yahya, bunyi hujan sudah cukup memberi amaran kepadanya untuk mengingatkan beberapa keluarga yang tinggal berdekatan tebing Sungai Sungai Gahal.

“Mereka yang tinggal di tepi sungai paling terjejas. Semasa hujan lebat, air sungai akan melimpah dan membanjiri rumah.

“Air naik lebih  1m dan menyebabkan banyak kerosakan rumah di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight semasa lawatan baru-baru ini di sana.

Isa, yang menjual nasi lemak di sebuah gerai di kawasan itu, berkata mereka juga bimbang tentang hakisan tanah sepanjang tebing sungai.

“Hujan lebat yang memenuhi sungai telah mengikis sebahagian tanah yang menjadi kawasan pembinaan rumah. Tanah tidak boleh menampung volum sebesar itu. Ia tidak selamat bagi keluarga yang tinggal di sana. “

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Ahmad, 65, yang tinggal bersebelahan tebing sungai, waspada ketika hujan turun pada waktu malam.

“Jika hujan pada waktu malam kami tidak dapat tidur. Kami perlu berjaga-jaga sekiranya kawasan banjir.

“Setakat ini, sudah lima kali kawasan ini dilanda banjir dan yang terburuk adalah semasa bulan puasa lalu.

“Semua barang baru, seperti perabot, pakaian, peralatan elektrik dan barangan lain yang dibeli untuk Hari Raya rosak akibat banjir.

“Terdapat 26 keluarga yang tinggal di sini dan kami menganggarkan setiap keluarga akan mengalami kerugian antara RM1,000 hingga RM3,000,” katanya.

EKVE perlu mengakui banjir itu disebabkan oleh projeknya dan memberi pampasan kepada penduduk di sini, kata Ibrahim.

“Saya pasti ada peruntukan untuk kejadian seperti ini.”

(Dari kiri) Ibrahim Ahmad dan Isa Yahya yakin pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Hulu Langat menjadi punca utama kejadian banjir kilat yang dialami penduduk di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Disember, 2017.

Tiada banjir sebelum pembinaan lebuh raya

EKVE akan menjadi laluan dua hala dengan plaza tol di lima persimpangan di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat, Ampang dan Ukay Perdana.

Ia diluluskan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada Ogos 2015 dan diwartakan dalam Rancangan Tempatan MPAJ 2011 untuk 2020.

Ia menimbulkan kontroversi sebelum ini apabila Jabatan Perhutanan Selangor mengatakan ia akan memulangkan 106.65 hektar hutan simpan bagi pembinaan lebuh raya itu.

Kumpulan alam sekitar WWF Malaysia membantah kerana ia akan merosakkan kawasan tadahan air.

EKVE disasarkan untuk menjadi sebahagian daripada Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Lingkaran Tengah Kedua (MRR2) dengan membolehkan laluan antara Kepong, Selayang dan Gombak, dan Bangi, Kajang dan Subang untuk mengelakkan melalui Kuala Lumpur.

Walaupun mereka mengalami kerugian besar sepanjang tahun, penduduk berharap pihak bertanggungjawab akan membantu menangani masalah mereka sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

Terletak kurang 2km dari Kampung Sungai Gahal adalah Kampung Sungai Michu, yang merupakan satu lagi kawasan terdedah banjir.

Halim Mohd Sedek, 61, yang menetap sejak 15 tahun lepas, berkata kawasan itu tidak pernah mengalami banjir sehingga projek lebuh raya bermula. Rumahnya dilanda banjir dua kali pada Jun dan November.

“Selepas bersara, saya memutuskan untuk kembali ke kampung. Tiada banjir sepanjang tahun ini tetapi banjir kilat berlaku apabila pembinaan EKVE bermula.

“Saya percaya ini disebabkan oleh pembinaan di bukit berhampiran rumah kami. Apabila hujan, air akan mengalir ke Sungai Michu dan menyebabkan ia melimpah.”

Dia mengalami kerugian sehingga RM70,000 kerana banjir pada November lalu.

“Lima kereta, termasuk kereta menantu saya dan Proton Saga lama saya, rosak akibat banjir. Yang lain adalah barangan isi rumah. Saya sudah membuat dua laporan polis dan mengemukakan tuntutan saya bagi mendapatkan pampasan ke Majlis Daerah Hulu Langat.

“Saya hanya mendapat pencen sebanyak RM400 sebulan. Saya harap mereka akan mempertimbangkan tuntutan saya.”

Halim juga membina tembok simen 1m tinggi untuk mengelakkan air berlumpur.

“Kami bukan satu-satunya yang terlibat. Terdapat lebih 12 keluarga di sini yang dilanda banjir,” katanya.

Sharif Sarban, 76, berkata rumahnya dibanjiri dua kali dan tebing sungai di mana pondoknya dibina juga rosak.

“Pondok itu tempat saya membuat lemang untuk kawan-kawan dan saudara-mara saya. Banjir merosakkan pondok dan dapur saya memasak lemang.

“Kami mengesyaki banjir disebabkan pembinaan EKVE. Saya tidak meminta apa-apa pampasan, tetapi saya mahu mereka yang bertanggungjawab datang dan memulihkan sungai serta menghalang lebih banyak lagi kejadian banjir berlaku.”

Di bawah perintah pemberhentian kerja, EKVE hanya dibenarkan menjalankan kerja pemulihan hakisan tanah dan kawalan kelodak di tapak projek.

Sharif berkata beberapa kontraktor datang beberapa bulan lalu dan memberitahu penduduk mereka akan membina tembok penahan. Bagaimanapun, kerja masih belum dimulakan.

The Malaysian Insight melaporkan lebih 200 penduduk Felcra Semungkis berkata pembinaan lebuh raya mega itu menyebabkan banjir kilat, jalan rosak dan tanah runtuh sejak pembangunan bermula setahun lalu.

Mereka berkata insiden terburuk berlaku pada 11 November yang menjejaskan tiga buah sekolah agama dan rumah anak yatim yang menempatkan 250 murid berusia antara tujuh hingga 17 tahun belajar.

Banjir memusnahkan pakaian kanak-kanak, buku sekolah, perabot, perkakas dan barangan lain.

Sharif Sarban menggesa pihak pemaju Lebuhraya Lembah Klang Timur bertanggungjawab terhadap kejadian banjir yang dialami penduduk di sekitar projek itu dengan mempercepatkan kerja pemulihan bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Disember, 2017.

Banyak aduan yang diterima daripada penduduk menyebabkan Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan perintah menghentikan kerja pada Oktober sehingga pemaju menyelesaikan kerja pemulihan dan pembaikan.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Junaidi Jaafar mengesahkan perintah henti kerja masih aktif dan hanya akan ditarik balik apabila kementerian berpuas hati dengan kerja pemulihan itu.

“Arahan pemberhentian kerja itu dikeluarkan pada 24 Oktober 2017 berikutan aduan dan kegagalan EKVE mengawal hakisan di tapak projek.

“Sejak itu, Jabatan Alam Sekitar Selangor memantau projeknya setiap minggu dan aktiviti pembinaan lebuh raya di seluruh tapak projek EKVE telah berhenti sepenuhnya.

“Hanya pemulihan sedang dilakukan. Perintah berhenti kerja yang dikeluarkan masih berkuatkuasa dan akan diteruskan sehingga kementerian berpuas hati dengan semua langkah pemulihan, kawalan hakisan dilaksanakan di bawah ‘amalan pengurusan terbaik’ (BMP) yang dicadangkan dan pemaju projek perlu mengemukakan bukti serta lulus pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar  dan Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya dalam satu kenyataan. – 15 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen