KKM tak bagi Muhyiddin gelang merah jambu, kata JPM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak memakai gelang merah jambu semalam, tindakan yang dikecam hebat kerana ia kesalahan peraturan kuarantin kendiri 14 hari. – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan tidak memberikan gelang merah jambu kuarantin kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyebabkan beliau tidak memakainya ketika perutusan khas Covid-19, semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan yang Muhyiddin tidak dinasihatkan memakai gelang pengawasan itu walaupun sedang menjalani kuarantin kendiri.

“Merujuk isu pemakaian gelang pengawasan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin, adalah dijelaskan bahawa YAB Perdana Menteri tidak diberikan gelang pengawasan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata kenyataan itu.

Penjelasan itu dibuat JPM susulan kecaman hebat dalam talian terhadap Muhyiddin yang tidak memakai gelang pengawasan, satu kesalahan dalam peraturan kuarantin kendiri.

Tambah JPM lagi, Muhyiddin juga tidak melanggar sebarang undang-undang dan hanya bertindak atas nasihat KKM pada 5 Oktober.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh pegawai KKM pada 5 Oktober 2020, YAB Perdana Menteri dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Sehubungan itu beliau tidak dihendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan.

“Justeru, dakwaan bahawa YAB Perdana Menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar,” kata kenyataan lagi.

JPM juga berkata Muhyiddin sudah diuji negatif Covid-19 selepas mesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, minggu lepas.

Menurut kenyataan, Muhyiddin sudah tiga kali menjalani ujian iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan semua keputusan negatif Covid-19.

Gelang pengawasan diberikan kepada semua individu yang menjalani kuarantin 14 hari, mereka termasuklah kontak rapat kes positif, mereka yang pulang dari luar negara dan individu dari zon kawasan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD).

Selain warna merah jambu, pihak berkuasa kesihatan juga mengeluarkan gelang pengawasan warna putih, biru dan kuning mengikut kes tertentu.

Individu di bawah kuarantin dilarang meninggalkan rumah masing-masing selama 14 hari, selepas itu gelang pengawasan itu hanya boleh ditanggalkan oleh pejabat kesihatan daerah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu yang melanggar peraturan kuarantin mewujudkan ancaman kesihatan kepada masyarakat.

Sebelum ini, isu gelang pengawasan merah jambu tular apabila seorang wanita yang dalam kuarantin melanggar peraturan sehingga dijatuhkan penjara sehari dan denda RM8,000. – 7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen