PEGAWAI kanan Mohamed Azmin Ali meminta orang ramai bertenang dan menghormati privasi menteri kanan ekonomi itu ketika timbul desas-desus beliau positif Covid-19.
Menjawab pertanyaan pelbagai pihak di Twitter, setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham bagaimanapun tidak mengesahkan dan tidak pula menafikan spekulasi Azmin dijangkiti Covid-19.
“Terima banyak pertanyaan tentang kesihatan dan kedudukan DS @AzminAli ketika ini. Saya harap semua pihak menghormati privasi beliau dan keluarga.
“Mohon semua bertenang dan mendoakan keselamatan dan keafiatan rakyat Malaysia,” tulisnya di Twitter, malam tadi.
Jawapan Hilman menyusul spekulasi yang berlegar di media sosial kononnya Azmin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pula positif Covid-19.
Setiausaha politik Hamzah, Sayed Amir Muzzakkir dalam satu kenyataan malam tadi menyifatkan khabar angin Hamzah positif Covid-19 berita palsu.
“Saya menafikan sekerasnya berita palsu yang tular dan mendakwa YB Menteri Dalam Negeri disahkan positif Covid-19,” katanya.
Katanya, Hamzah telah menjalani saringan pengesanan Covid-19 dan disahkan negatif serta bebas Covid-19, semalam.
Setiausaha akhbar menteri Zulkifli Bujang juga mengesahkan maklumat sama kepada Bernama malam tadi.
Semalam, Muhyiddin dalam perutusan khas beberapa jam sebelum itu berkata beliau bersama tujuh menteri dan enam timbalan menteri sedang menjalani kuarantin di rumah selepas menteri agama Dr Zulkifli Mohamad positif Covid-19.
Zulkifli hadir dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Muhyiddin pada Sabtu (3 Oktober).
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 90 individu kontak rapat menteri agama disahkan negatif Covid-19, termasuk mereka yang hadir ke mesyuarat tersebut. – 7 Oktober, 2020.
Komen