INI masa yang baik untuk membuat pelaburan besar seperti membeli hartanah kerana kadar faedah yang rendah dan pelbagai insentif diberikan, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC) Lee Heng Guie.
Beliau berkata mereka yang mempunyai pendapatan dan pekerjaan yang stabil boleh mengambil peluang dalam keadaan sekarang untuk membeli hartanah.
“Kadar faedah sangat rendah.
“Bagi mereka yang hendak beli rumah, atau beli sebuah lagi rumah atau menaik taraf rumah, mereka boleh ambil peluang terhadap kadar faedah rendah sekarang, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RGPT) untuk membeli rumah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kempen HOC 2020-2021 adalah sebahagian daripada pakes rangsangan ekonomi Penjana diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jun. Pakej itu menyasarkan untuk membantu mengurangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi.
Inisiatif itu menawarkan pengecualian duti setem 100% bagi pembelian kediaman bernilai hingga RM1 juta, dan 3% duti setem bagi hartanah bernilai antara RM1 juta dan RM2.5 juta.
Lee berkata transaksi hartanah mungkin menyaksikan peningkatan dalam dua suku akan datang.
“Kita melihat beberapa peningkatan dalam pinjaman tertunggak untuk hartanah dan kereta. Sudah pasti akan ada orang yang mengambil pinjaman untuk membeli dua item ini kerana kadar faedah yang rendah.”
Menurut sorotan bulanan Bank Negara Malaysia (BNM), pinjaman isi rumah berkembang daripada 0.5% kepada 4.8% pada Ogos, berbanding 4.3% pada Julai.
BNM berkata jumlah keseluruhan pinjaman dikeluarkan kekal “teguh” walaupun sederhana sedikit pada RM89.19 bilion berbanding RM100 bilion pada Julai, di mana kebanyakannya kerana pinjaman pembelian hartanah kediaman.
Lee berkata berlaku juga peningkatan jualan kereta kerana pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
Jualan kereta baharu berkembang 3.2% kepada 52,800 unit pada Ogos berbanding 51,148 unit tahun lalu.
Persatuan Automotif Malaysia mengaitkan peningkatan jualan Ogos kepada jualan kenderaan penumpang.
Jualan kenderaan penumpang meningkat 1.7% kepada 47,591 pada Ogos berbanding 46,802 unit terjual pada bulan sama tahun lalu. – 7 Oktober, 2020.
Komen