JABATAN Penjara meningkatkan langkah keselamatan selepas berlakunya lonjakan kes Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan di kemudahan berkenaan, kata Ketua Pengarah Penjara, Zulkifli Omar.
Dalam satu kenyataan beliau berkata jumlah kes Covid-19 yang aktif dalam kalangan banduan dan kakitangan di seluruh negara meningkat dari 673 kes kepada 1,126 kes pada Isnin.
“Penularan dalam kalangan banduan bermula di penjara Tawau ketika seorang tahan yang diterima dari Lahad Datu diuji positif Covid-19 pada 2 September.
“Kluster berikutnya dikesan di penjara Alor Setar pada 29 September,” katanya.
Berikutan peningkatan kes di penjara Alor Setar secara mendadak, Putrajaya kini meletakannya di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) selama 14 hari.
Zulkifli berkata Jabatan Penjara sedang mengambil langkah untuk memastikan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk untuk mengubati, kuarantin dan mengekang penyebaran virus yang berkaitan dengan kakitangannya serta perlindungan banduan di seluruh negara dipatuhi dengan ketat.
Beliau berkata jabatan itu juga akan memperkuatkan SOP di penjara dan akan melaksanakannya berdasarkan perintah tetap Jabatan Penjara.
Zulkifli berkata langkah tambahan untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 seperti menempatkan tahanan yang melakukan kesalahan dadah di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya dengan memindahkannya ke beberapa kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah diwartkan sebagai penjara sementara.
“Jumlah tahanan yang dapat ditampung di kem berkenaan adalah antara 2,300 hingga 2,800 tahanan,” katanya.
Beliau berkata jabatan itu juga akan melaksanakan Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) kepada mereka yang mempunyai sabitan kurang dari setahun dengan baki hukuman kurang dari tiga bulan dengan kira-kira 11,018 tahanan layak menerima tawaran itu.
“Banduan yang akan dibebaskan melalui PBSL mesti melalui proses pemeriksaan yang ketat dan disahkan bebas dari Covid-19,” katanya. – 6 Oktober, 2020.
Komen