PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah menyebabkan jangkitan Covid-19 meningkat, akui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau bagaimanapun menjelaskan pilihan raya itu tidak dapat dielakkan kerana perlu dibuat mengikut undang-undang.
“Saya akui kempen pilihan raya di negeri Sabah juga menjadi antara punca peningkatan kes-kes Covid-19.
“Pilihan raya negeri Sabah terpaksa diadakan apabila Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Julai yang lalu.
“Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan. Pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di televisyen petang ini.
Muhyiddin menyampai perutusan dari rumah ketika beliau menjalani kuarantin kendiri selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh menteri agama Dr Zulkifli Mohamad yang semalam disahkan dijangkiti Covid-19.
Muhyiddin dan pentadbiran Perikatan Nasional serta ahli politik umumnya dikecam di media sosial selepas kes Covid-19 meningkat mendadak sejak selepas pilihan raya negeri Sabah pada 26 September lalu.
Jumlah mereka yang dijangkiti Covid-19 meningkat lebih 1,300 kes hanya dalam masa enam hari pertama dalam Oktober.
Muhyiddin mengakui walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan peraturan bagi membendung penularan Covid-19, orang ramai tidak mematuhinya semasa berkempen.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menjelaskan beliau malah terpaksa membuat peraturan tambahan sendiri semasa berkempen di Sabah, demi untuk menjaga keselamatan mengelak penularan Covid-19.
“Saya datang dengan kereta terus ke pentas tanpa melalui khalayak ramai.
“Ketika mula berucap, saya peringatkan semua yang hadir supaya patuhi SOP yang ditetapkan. Duduk jangan rapat-rapat, pakai pelitup muka dan sentiasa basuh tangan atau gunakan sanitizer.
“Setelah habis berucap, saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah. Dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pegawainya supaya tidak mengatur kempen untuknya di kawasan zon merah, yang terpaksa beliau tolak.
“Namun, hakikatnya telah ada mereka yang dijangkiti Covid 19 ketika berada di negeri Sabah. Ini sesuatu yang amat mendukacitakan kita,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad semalam disahkan positif jangkitan Covid-19.
Ini memaksa tujuh menteri dan enam timbalan menteri, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjalani kuarantin kendiri di rumah kerana mereka hadir dalam mesyuarat yang disertai oleh Zulkifli pada Sabtu lalu.
Mesyuarat pada 3 Oktober itu adalah mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri bagi membincangkan perkembangan Covid-19.
Dr Noor Hisham hari ini berkata 90 orang yang mempunyai kontak rapat dengan Zulkifli telah disaring kesihatan mereka dan semuanya sekatat ini negatif Covid-19.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Dr Ahmad Masrizal Muhammad juga sebelum ini antara yang disahkan dijangkiti Covid-19 selepas pulang dari Sabah.
Beberapa pemimpin Umno yang berkempen di Sabah juga disahkan positif Covid-19 atau sebelum ini menjalani kuarantin kendiri. – 6 Oktober, 2020.
Komen