SERAMAI 11 pengamal media di Kelantan hari ini menjalani ujian swab Covid-19, kerana dipercayai mempunyai kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang disahkan positif jangkitan itu.
Kesemua petugas media berkenaan telah membuat liputan pada program yang dihadiri bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu di Dewan Jubli Perak pada 25 Sept lepas, iaitu sehari selepas beliau pulang dari Sabah.
Para petugas media terlibat menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, dekat sini, dengan mengamalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka, sepanjang proses ujian itu.
Pengamal media yang terbabit adalah dari Bernama termasuk Bernama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Alhijrah masing-masing terdiri daripada dua petugas, manakala seorang petugas masing-masing dari Berita Harian, Sinar Harian dan Harakah.
Kesemua pengamal media berkenaan dinasihatkan oleh pegawai kesihatan yang bertugas untuk menjalani kuarantin kendiri, sehingga keputusan ujian calitan Covid-19 dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.
Semalam, Zulkifli mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital dan beliau turut menyeru orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadirannya dari 24 Sept hingga 4 Okt, supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin berkata pihaknya mengambil maklum bahawa Zulkifli disahkan positif Covid-19 dan telah mengenal pasti program yang dihadirinya, semasa berada di Kelantan pada 25 Sept lepas.
“Perlu diingat, bukan semua yang hadir ke program yang telah dihadiri oleh menteri berkenaan merupakan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Penilaian risiko telah dilakukan bagi mengenal pasti kontak rapat yang perlu menjalani ujian saringan Covid-19. Individu yang terlibat sedang dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan, bagi menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan berdekatan.
“Masyarakat juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 JKNK di talian 09-7472089 pada hari bekerja pukul 8 pagi hingga 5 petang dan hari cuti umum pada 8 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya. – Bernama, 6 Oktober, 2020.
Komen