Hanya PKP bersasar di kawasan teruk dijangkiti Covid-19, kata PM


Muhyiddin Yassin menyampai perutusannya dari rumah ketika beliau menjalani kuarantin kendiri selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh menteri agama Dr Zulkifli Mohamad yang semalam disahkan dijangkiti Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2020.

KERAJAAN tidak akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara, seperti yang diperkenalkan pada Mac lalu, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kerana bimbang kesannya ke atas ekonomi akan mendatangkan lebih banyak mudarat.

Kerajaan sebaliknya hanya akan mengenakan kawalan lebih ketat atau PKP diperketatkan secara bersasar di kawasan tertentu yang mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang tinggi, katanya.

“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas. 

“Saya percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan Covid-19 tanpa perlu kita menutup sektor-sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di televisyen petang ini.

Menurut Muhyiddin, pada masa ini proses pemulihan ekonomi berjalan lancar dan apa saja keputusan kerajaan dalam membendung pandemik ini perlu mengambil kira keadaan itu.

“Apa jua keputusan yang diiambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat kita yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Muhyiddin menyampai perutusannya dari rumah ketika beliau menjalani kuarantin kendiri selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh menteri agama Dr Zulkifli Mohamad yang semalam disahkan dijangkiti Covid-19. 

Jelas Muhyiddin, walaupun menjalani kuarantin di rumah, beliau memantau dengan dekat perkembangan kes Covid-19 di seluruh negara.

“Saya akan membuat keputusan-keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular dalam masyarakat kita. 

“Ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau TEMCO di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah,” katanya.

Pada April lalu, Muhyiddin berkata penularan Covid-19 dan langkah membendungnya yang diambil oleh kerajaan menyebabkan kerugian sehingga RM2.4 bilion sehari apabila sektor perniagaan ditutup.

Pentadbirannya setakat ini telah memperkenalkan beberapa pakej bantuan kepada rakyat termasuk penangguhan pembayaran semula hutang bank yang umumnya berakhir pada September.

Sebelum Muhyiddin muncul menyampaikan perutusannya, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan 691 kes baharu Covid-19 dikesan di seluruh Malaysia, dengan kes paling banyak di Sabah (219) dan Kedah (397).

Pada masa ini, terdapat tujuh zon merah di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Papar, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kunak, dan Semporna. Dua lagi zon merah di Semenanjung iaitu di Klang dan Kota Setar.

Zon merah ialah daerah kesihatan yang mempunyai 41 atau lebih kes Covid-19.

PKP diperkenalkan pada 18 Mac ketika keseluruhan jangkitan Covid-19 mencecah hampir 800 dan pada masa itu meningkat pada tiga angka dari hari ke hari.

Setakat tengah hari semalam, keseluruhan 13,504 kes telah dikesan dengan 2,936 masih aktif atau bersamaan 21.74%. Daripada jumlah itu, 31 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan lapan kes memerlukan alat bantuan pernafasan. – 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen