RM352.9 juta bantuan Musa’adah Covid-19 diagih sejak Mac hingga September


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, agihan bantuan Musa'adah Covid-19 membabitkan 10 kelompok sasar dalam pelbagai bentuk bantuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2020.

SEJUMLAH RM352.9 juta bantuan Musa’adah Covid-19 telah diagihkan ke seluruh negara, oleh agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri sejak 18 Mac hingga 18 Sept lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, agihan membabitkan 10 kelompok sasar dalam pelbagai bentuk bantuan.

“10 kelompok sasar itu termasuk gelandangan, B40, asnaf, mualaf, petugas barisan hadapan, pelajar dan badan bukan kerajaan, Orang Asli dan orang kurang upaya,” katanya membentangkan Kad Laporan Bulan Ogos 2020 bagi agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dilampirkan dalam satu kemas kini di laman Facebooknya hari ini.

Zulkifli kini sedang menjalani rawatan di hospital, setelah disahkan dijangkiti Covid-19 semalam.

Sementara itu beliau berkata, Pelan Pengimarahan Masjid-masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 diharap menjadi perintis kepada usaha pengimarahan bersepadu di seluruh Malaysia.

“Dalam konteks pengimarahan, ia merangkumi dua aspek iaitu membina dan melaziminya. Mengimarahkan masjid bermaksud mendirikan solat dan menegakkan syiar agama, bukan sekadar tempat untuk melaksanakan ibadah khusus semata-mata, tetapi juga untuk menyampaikan dakwah Islam,” katanya.

Beliau berkata, pengimarahan juga adalah dengan selalu menghidupkan jemaahnya, memelihara dan membersihkannya, memperbaiki jika berlaku kerosakan dan mencukupkan kekurangan yang ada. – Bernama, 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen