BAYI berumur setahun antara empat korban Covid-19 terbaharu yang dicatatkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan keseluruhan kematian kini 141 orang sejak pandemik itu melanda Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, bayi perempuan warganegara itu mendapat rawatan selepas dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu.
“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020.
“Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang,” katanya dalam sidang media yang disiar secara langsung melalui televisyen dan Facebook.
Noor Hisham mengadakan sidang media dari rumahnya kerana kini menjalani kuarantin kendiri selepas hadir sama dalam mesyuarat pada Sabtu lepas yang disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad.
Tiga kematian lain melibatkan dua juga di Sabah dan satu di Pulau Pinang, katanya.
Dua lelaki berumur 60 tahun masing-masing meninggal dunia Hospital Duchess of Kent Sandakan dan di Hospital Semporna pada pagi Ahad.
Lelaki di Sandakan dimasukkan ke hospital di Sandakan pada 25 September dan disahkan positif sehari kemudian, sementara lelaki kedua dimasukkan ke hospital di Semporna pada 1 September dan disahkan positif pada 30 September.
Korban keempat di Pulau Pinang juga seorang lelaki, berumur 85 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.
Lelaki itu ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang, kata Noor Hisham.
“Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan Covid-19 dikesan positif.
“Kementerian mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.
Noor Hisham juga berkata pada masa ini kadar kematian akibat Covid-19 hanya 1.04% daripada keseluruhan 13,504 kes yang disahkan sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari 2020. – 6 Oktober, 2020.
Komen