Hampir 32 juta pekerja di Vietnam terjejas akibat Covid-19


Kira-kira 31.8 juta pekerja berusia 15 tahun ke atas di Vietnam teruk terjejas akibat Covid-19 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2020.

KIRA-KIRA 31.8 juta pekerja berusia 15 tahun ke atas di Vietnam teruk terjejas akibat Covid-19 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, lapor agensi berita Xinhua, memetik Pejabat Statistik negara pada Selasa.

Sebanyak 68.9 peratus menerima upah lebih sedikit, hampir 40 peratus mengalami pengurangan waktu bekerja manakala kira-kira 14 peratus lagi diberi cuti atau menghentikan aktiviti perniagaan dan pengeluaran. 

Pekerja di sektor perkhidmatan paling teruk terjejas iaitu sebanyak 68.9 peratus, diikuti di sektor industri dan pembinaan, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.

Dalam tempoh itu juga terdapat hampir 1.2 juta penganggur, meningkat 132,100 tahun ke tahun. 

Sejumlah 38,600 perniagaan menangguhkan operasi, melonjak 81.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Jumlah yang mengemukakan tuntutan pengangguran pula mencecah 893,090 orang, dianggarkan boleh mencapai sejuta pada akhir tahun ini, lapor akhbar Tien Phong (Pioneer) memetik ketua Jabatan Pekerjaan Vu Trong Binh pada Selasa. – Bernama, 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen