Adun Amanah positif Covid-19 selepas ujian kedua


Adun Maharani Nor Hayati Bachok positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah. – Gambar Facebook, 6 Oktober, 2020.

ADUN Maharani Nor Hayati Bachok positif Covid-19, kata Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Adun Amanah itu hari ini.

Keputusan positif disahkan selepas pemeriksaan kedua yang dibuat pada 4 Oktober setelah ujian pertama diambil pada 26 September sekembalinya beliau dari Sabah adalah negatif.

Sepanjang tempoh selepas beliau pulang, Nor Hayati berada di bawah kuarantin sendiri, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat khidmatnya.

“Pihak kami sekali lagi menegaskan bahawa sejak hari pertama kembali sehingga 5 Oktober 2020, Nor Hayati Bachok telah mengamalkan kuarantin kendiri di rumah atas inisiatif sendiri serta tidak hadir ke mana-mana program di luar dan tidak bertemu rakyat,” lapor kenyataan itu di Facebook.

“Walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin atau pengasingan, Nor Hayati sendiri telah mengambil inisiatif kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri.

“Beliau telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober 2020 dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya pada 5 Oktober 2020,” tulis kenyataan berkenaan.

Beliau kini menerima rawatan di hospital sementara kontak rapat telah dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Muar untuk diuji.

Kenyataan itu juga menggesa agar penduduk tidak panik dengan mesej-mesej yang tular, sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak KKM sahaja. – 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen