MALAYSIA bakal menyaksikan 20,000 kes Covid-19 menjelang 10 Oktober jika kadar jangkitan atau R-naught (R0) adalah 1.86, menurut carta yang dipaparkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Carta yang disiarkan di akaun media sosialnya itu menggambarkan senario terburuk yang boleh berlaku.
Tidak diketahui berapa nilai R0 hari ini, kerana ia berubah bergantung kepada jumlah kes baharu yang dilaporkan.
Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi sebanyak 432 kes, berbanding 293 kes baru sehari sebelumnya.
Noor Hisham turut menyiarkan carta lain yang mengunjurkan tiga senario bagi kes yang dilaporkan setiap hari pada tiga nilai R0 yang berbeza.

Berdasarkan carta, Malaysia dapat melihat lebih 4,500 jangkitan baharu setiap hari pada 31 Oktober dengan 2.2 R0.
Pada 1.5 R0, mungkin terdapat kurang 1,500 kes baharu setiap hari, dan pada 0.3 R0, sekitar 100 atau kurang. Yang terakhir adalah senario kes terbaik.
R0 adalah pengiraan seberapa cepat jangkitan merebak. Semakin tinggi bilangannya, semakin cepat jangkitan merebak di kalangan masyarakat.
“Grafik ini adalah yang paling mudah untuk menggambarkan senario semasa kita. Marilah kita semua bersatu untuk melandaikan lengkungan sekali lagi,” katanya di media sosial.
Mengulas grafik tersebut, Dr Jill Ho Chern Ni, koordinator penjagaan kesihatan Acts Community, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang membantu masyarakat terpinggir, berkata perbandingan dibuat bukan hanya pada jumlah kes setiap hari tetapi juga kadar di mana kes baharu meningkat atau menurun.

“Senario pertama adalah apabila terdapat 100 kes baharu pada hari pertama, dan 100 kes baharu pada hari kedua.
“Senario kedua adalah 10 kes baharu pada hari pertama, dan 100 kes baharu pada hari kedua.”
“Di antara dua senario, yang pertama mengalami kenaikan lebih rendah berbanding yang kedua,” katanya.
“Ini adalah penjelasan kasar mengenai R0. Senario satu menunjukkan R0 lebih rendah berbanding senario kedua kerana kenaikannya lebih rendah.
“Jika kita berjaga-jaga, kita akan mencapai hasil diinginkan sebagaimana kita berhasil melandaikan lengkungan gelombang Covid-19 sebelum ini,” tambah Ho. – 6 Oktober, 2020.
Komen