SEMUA perjalanan keluar dan masuk ke Sabah akan disekat mulai 12 hingga 25 Oktober ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Ismail dalam satu kenyataan berkata sekatan bagaimanapun mengecualikan kes tertentu melibatkan kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain, yang mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka yang telah mendapat kebenaran juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, bagi pergerakan ke Sabah, kebenaran diberikan kepada kategori berikut:
- Rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H
- Pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh, yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak
- Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas imigresen Malaysia yang sah tempoh, yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah
- Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah
- Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop Seksyen 66(1)(d) akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Sabah
- Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam pasport. – 6 Oktober, 2020.
Komen