KPN negatif Covid-19, sedang kuarantin 14 hari


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sedang menjalani kuarantin kendiri dan kuasa pengurusan diserahkan kepada Timbalan KPN Acryl Sani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2020.

KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador yang menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Sabtu lepas, disahkan negatif Covid-19 selepas membuat ujian swab semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Abdul Hamid yang ketika ini sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya telah menjalani sebanyak lapan kali ujian swab Covid-19 dan ujian pengesanan berkenaan disahkan negatif,” katanya ringkas kepada Bernama.

Beliau juga berkata sepanjang tempoh beliau menjalani kuarantin kendiri itu, Timbalannya Acryl Sani Abdullah Sani mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan pasukan. 

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang turut hadir pada mesyuarat itu disahkan positif Covid-19 dan beliau kini dirawat  di hospital di Seremban. – Bernama, 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen