PRESIDEN Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing menyangkal dakwaan bahawa salah seorang ahli partinya menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim bentuk kerajaan baharu.
“Berita palsu,” kata Masing, mengulas laporan berita bahawa Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong menyokong Anwar.
“Ugak bersama saya beberapa hari sebelum ini. Dia tak sebut apa-apa pun (tentang) ikut Anwar.”
Tambah beliau Ugak sebahagian daripada jawatankuasa program lawatan Ketua Menteri Abang Johari Openg ke Kapit. Abang Johari membuat lawatan ke Kapit untuk meninjau pembinaan jalan baharu dan projek infrastruktur lain di sepanjang Sungai Rajang.
Laporan berita juga mendakwa Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Richard Riot Jaem (ahli Parlimen Serian), Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing (Bintulu) dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, juga dari PDP, menyokong Anwar.
PRS, SUPP dan PDP merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Tiong semalam menafikan dakwaan tersebut.
Beliau berkata senarai 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong Anwar, yang disiarkan oleh sebuah portal, meragukan dan tidak berasas. – 6 Oktober, 2020.
Komen