ANONIMITI (tidak bernama) diperlukan beberapa kumpulan dalam talian kerana ia menawarkan ruang untuk membincangkan politik secara dalam talian, kata ahli panel di forum mengenai media sosial, Gayathry S Venkiteswaran.
Gayathry, penolong profesor di fakulti seni di Universiti Nottingham berkata, anonimiti membolehkan orang ramai bercakap dengan bebas dalam dalam talian.
“Ada ramai orang yang tidak dapat berkumpul dan bercakap dengan bebas dan terbuka disebabkan identiti mereka, kedudukan politik, jantina dan sebagainya.
“Dan saya rasa ini memberi mereka sedikit ruang untuk melibatkan diri dalam beberapa perbincangan dan kenyataan politik,” katanya ketika forum mengenai media sosial di Kuala Lumpur hari ini.
Anonimiti juga katanya memastikan keselamatan seseorang, yang mana menjadi faktor penting untuk diiktiraf.
“Ada beberapa kumpulan individu yang kerana identiti atau kedudukan politik ada masanya perlu membincangkan isu ini melalui cara yang lebih selamat dan terjamin, dan ada masanya pendedahan identiti mereka boleh merisikokan mereka.
“Sebenarnya ia agak penting apabila ada berada dalam talian tanpa dikenali,” katanya.
Gayathri juga berkata anonimiti menjadi isu apabila berlaku jenayah dalam talian dan dia menegaskan anonimiti itu sendiri bukanlah satu masalah.
“Saya fikir kita tak patut cepat mengatakan anonimiti ini satu masalah, ia sepatutnya dikaitkan dengan perlakuan jenayah.
“Kita harus berhati-hati apabila mengatakan anonimiti ini masalah kerana saya fikir ramai orang menggunakannya untuk penglibatan,” katanya sambil menambah bahawa harus ada perbezaan antara orang melakukannya untuk jenayah dan mereka yang terlibat dalam perbincangan politik di bawah anonimiti.”
Seorang lagi ahli panel, peguam Nizam Bashir berkata anonimiti adalah pilihan bagi sesetengah kumpulan atau individu.
“Dalam undang-undang, saya harus katakan terdapat beberapa kes di mana anonimiti dianggap sebahagian daripada kebebasan bersuara, terutamanya di Amerika Syarikat,” katanya. – 14 Disember, 2017.
Komen