Amerika, jangan biarkan Covid-19 kuasai anda, kata Trump


Presiden Donald Trump menasihatkan rakyat Amerika supaya sentiasa berjaga-jaga selepas beliau disahkan positif Covid-19. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2020.

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin memberitahu rakyat Amerika agar tidak membiarkan Covid-19 “menguasai anda” setelah tiba di Rumah Putih dari Pusat Perubatan Walter Reed, lokasi beliau menerima rawatan Covid-19, lapor agensi Anadolu.

Menerusi video dari kediaman presiden yang disiarkan di Twitter, Trump berkata beliau “banyak belajar” mengenai Covid-19 semasa berada di hospital tentera di Bethesda, Maryland.

“Satu perkara yang pasti: Jangan biarkan ia menguasai anda. Jangan takut kepadanya. Anda akan mengalahkannya,” kata Trump. “Kami mempunyai peralatan perubatan terbaik. Kami mempunyai ubat terbaik, semuanya dibangunkan baru-baru ini.”

Trump, 74, pada Jumaat berkata beliau dan wanita pertama Melania Trump disahkan positif Covid-19, beberapa jam setelah Hope Hicks, salah seorang pembantu terdekatnya yang sering bersama menyertai perjalanannya, yang terbaharu pada Rabu lalu, disahkan positif Covid-19.

Presiden dibawa ke Pusat Perubatan Walter Reed pada petang Jumaat.

Trump berkata sebagai pemimpin negara beliau harus melakukan pergerakan, sambil menambah: “Saya tahu adanya risiko.Juga bahaya, tetapi tidak mengapa. Dan sekarang saya lebih baik. Mungkin saya imun, saya tidak tahu.”

Presiden juga memberitahu rakyat Amerika supaya sentiasa berjaga-jaga. – Bernama, 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen