KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sedang menjalani kuarantin kendiri sukarela dan akan mengadakan sidang media Covid-19 hari ini melalui siaran langsung di Facebook.
Beliau menjalani kuarantin kendiri itu selepas hadir mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya, Sabtu lalu, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Zulkifli semalam disahkan positif Covid-19.
Pegawai Kementerian Kesihatan pagi ini memaklumkan media yang sidang media dalam talian ketua pengarah kesihatan itu akan dibuat pada jam 5.30 petang dan soalan diberi wartawan akan dihantar kepada Dr Hisham.
Siaran langsung itu akan disiarkan di akaun Facebook rasmi Kementerian Kesihatan.
Mesyuarat MKN pada Sabtu itu dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga mengumumkan akan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, malam tadi.
Beberapa orang menteri yang turut hadir mesyuarat itu, yang gambarnya dikongsi dalam talian menunjukkan Zulkifli tidak memakai pelitup muka.
Beliau pergi ke Tuaran, Sabah pada 24 September dan pulang ke Semenanjung dan hadir pelbagai majlis dan acara di beberapa tempat sejak 25 September lalu.
Zulkifli sudah membuat permohonan maaf kerana tidak menjalani kuarantin kendiri dan menggesa mereka yang hadir majlis disertainya untuk menjalani saringan Covid-19. – 6 Oktober, 2020.
Komen