MENTERI Hal Ehwal Agama, Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang dikritik banyak pihak, meminta maaf kepada rakyat Malaysia selepas disahkan positif Covid-19.
Menulis di Twitter, bekas imam Masjid Negara itu berkata beliau mengambil peluang muhasabah diri dan meminta maaf terhadap apa yang berlaku.
“Tempoh masa yang dikurniakan Allah SWT ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah, dan meneliti ruang-ruang penambahbaikan untuk masa mendatang.”
“Saya dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas, sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku,” tulisnya.
Beliau semalam disahkan dijangkiti koronavirus.
“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Saya menyeru orang ramai yang hadir majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September - 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera,” katanya di Facebook.
Zulkifli dikritik kerana kegagalannya melakukan kuarantin kendiri selepas kembali dari Sabah dan mempunyai jadual perjalanan aktif yang membawanya ke seluruh negara berhubung hal kerja.
Zulkfili pernah ke tiga universiti, melawat Kelantan dan Terengganu serta menghadiri beberapa persidangan sejak pulang dari Tuaran, Sabah pada 24 September.
Walaupun tidak diketahui bila atau bagaimana menteri itu mendapat Covid-19, garis masa Twitter menunjukkan pelbagai tempat sejak beliau kembali dari Sabah.
Beliau juga pernah menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional mengenai situasi Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lalu, menyebabkan semua yang hadir menjalani kuarantin.
Selain perdana menteri, beberapa menteri lain dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut dikuarantin selama 14 hari. – 6 Oktober, 2020.
Komen