Muhyiddin kuarantin dua minggu di rumah


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sewaktu mempengerusikan mesyuarat khas MKN di Putrajaya Sabtu lalu. – Gambar Facebook, 5 Oktober, 2020

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu selepas mempengerusikan mesyuarat yang disertai oleh anggota kabinetnya Dr Zulkifli Mohamad, yang disahkan positif Covid-19.

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata beliau bukan kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) itu, dan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan akan menjalani kuarantin kendiri sehingga 16 Oktober ini.

“Saya akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman saya selama 14 hari mengikut nasihat yang diberikan oleh KKM.

“Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan Kerajaan.

“Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” kata perdana menteri.

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara pada Sabtu lalu, yang turut disertai oleh Zulkifli. Menteri agama itu bagaimanapun tidak duduk dekat dengan perdana menteri.

Muhyiddin juga berkata beliau menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 setiap dua minggu sejak April lalu.

“Kesemua ujian pengesanan ini telah disahkan negatif,” katanya.

Muhyiddin juga memaklumkan beliau telah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September.

Semua ujian itu juga negatif, katanya.

Dalam satu makluman di Facebook petang ini, Zulkifli berkata beliau telah disahkan dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani rawatan.

Beliau turut menyeru orang ramai yang hadir di majlis yang melibatkan kehadiran beliau antara 24 September hingga semalam (4 Oktober) agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.

“Saya berdoa semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah,” katanya.

Dalam satu hantaran berasingan juga di Facebook, Zulkifli meminta maaf “atas sebarang bentuk kelemahan dan kelemahan” dirinya.

Zulkifli berada di Tuaran, Sabah pada 24 September dan sejak itu menghadiri beberapa program di serata tempat. – 5 Oktober, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen