PKPB di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan


Pekerja kesihatan melakukan pemeriksaan darah untuk Covid-19 di jeti Safma, Sabah. Ujian saringan disasarkan terhadap kumpulan berisiko tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2020.

TIGA daerah di Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) bermula tengah malam esok, umum Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob, selepas negeri itu mencatatkan peningkatan kes tinggi sejak beberapa hari lalu.

Tiga daerah itu ialah Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pengurusan pandemik hari ini mendengar laporan semasa keadaan penularan di negeri itu serta cadangan-cadangan kerajaan negeri.

“Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Khas bersetuju melaksanakan arahan PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam 7 Oktober 2020.

“Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

*Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi, tambahnya. 

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut,” kata Ismail Sabri.*

Kenyataan itu menyusul makluman dari Putrajaya bahawa sidang media Ismail Sabri yang dijadual pada 2 petang tadi dibatalkan. 

Ismail Sabri juga mengumumkan beberapa larangan dan sekatan susulan pelaksanaan PKPB di tiga daerah itu bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19.

Larangan dan sekatan itu secara umumnya sama dengan segala langkah yang dikuatkuasakan semasa peringkat awal PKP diperkenalkan pada Mac lalu sebelum dilonggarkan hampir dua bulan kemudian.

Larangan dan sekatan itu adalah seperti berikut: 

• Hanya warganegara Sabah dan pemegang pas imigresen Sabah yang dibenarkan masuk ke negeri itu. Selain kategori itu, mereka diwajibkan mendapat kebenaran khas daripada kerajaan negeri.

• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan/keperluan rumah.

• Perniagaan Bukan Perkhidmatan Perlu hendaklah ditutup.

• Restoran, kedai makan dan kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 hingga 6.00 petang.

• Pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja.

• Waktu operasi stesen minyak antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

• Operasi pasar harian adalah antara hingga 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.

• Operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.

• Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.

• Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

• Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi. Pergerakan petugas/ penumpang perlu mendapatkan kelulusan PDRM terlebih dahulu.

• Kenderaan yang membawa barangan keperluan (essential) dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

• Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja.

• Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

• Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.

• Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB.

• Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

• Kebenaran untuk bekerja hanya bagi Perkhidmatan Perlu (essential service) dengan kelulusan PDRM.

• Masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, IPTA dan IPTS, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak.

• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, dan budaya adalah tidak dibenarkan.

• PDRM bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan ATM, APM & RELA.

Setakat tengah hari semalam, 1,206 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Sabah. – 5 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen