PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro berharap Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pulih dari Covid-19, di sebalik hubungan kurang baik antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Sputnik.
“Kami tidak mahu ada orang yang dijangkiti, dan menyatakan solidariti kemanusiaan dengan presiden AS, yang merupakan musuh Venezuela, tetapi kami ingin beliau sembuh,” kata Maduro pada Ahad, dalam taklimat kesihatan yang disiarkan di Twitter.
Trump tiba di Pusat Perubatan Tentera Walter Reed di Maryland pada Jumaat, selepas mengumumkan di Twitter beliau dan isterinya Melania dijangkiti Covid-19.
Dr. Brian Garibaldi dari Johns Hopkins University, yang bertanggungjawab terhadap terapi presiden, pada Ahad berkata Trump menunjukkan reaksi positif terhadap rawatan antivirus remdesivir dan mungkin dibenarkan kembali ke Rumah Putih sekurang-kurangnya pada Isnin.
AS berulang kali mengenakan sekatan terhadap Venezuela disebabkan hubungan yang merosot antara Washington dan pentadbiran Presiden Maduro.
Pada Januari 2019, Venezuela mengalami krisis politik apbila ketua Parlimen Nasional yang dikuasai pembangkang ketika itu, Juan Guaido, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara dalam usaha menggulingkan Presiden Maduro.
AS dan kebanyakan negara Barat menyokong Guaido, sementara Rusia, China, Turki dan negara-negara lain menyokong Maduro.
Maduro pada Ahad menyatakan anaknya Nicolas Ernesto Maduro Guerra dan adiknya Maria Teresa Maduro, serta presiden sendiri, akan mendapatkan vaksin Covid-19 Rusia. Kumpulan pertama vaksin Sputnik V dihantar ke Venezuela pada Jumaat. – Bernama, 5 Oktober, 2020.
Komen