BEKAS menteri pendidikan Mahdzir Khalid akan dipanggil sekali lagi untuk beri keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor hari ini.
Ia susulan peguam Rosmah memohon saksi kelima pendakwaan itu dipanggil semula untuk diperiksa balas.
Peguam Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Rosmah berkata pasukan pembelaan memanggil semula Mahdzir untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kes projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak.
“Kami memberitahu mahkamah semasa pemeriksaan balas (Mahdzir) sebelum ini yang beliau mungkin akan dipanggil semula,” katanya kepada pemberita.
Mahdzir, yang kini pengerusi Tenaga Nasional, sepatutnya memberi keterangan pada jam 11 pagi tadi di mahkamah. Bagaimanapun, peguam Rosmah memohon pemeriksaan balas Mahdzir dimulakan jam 2:30 petang kerana memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan lanjut.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membernarkan permohonan pembelaan.
Terdahulu, Ketu Pendakwa Raya Gopal Sri Ram menegaskan Mahdzir perlu beri memberi keterangan hari ini walau dilaporkan menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah.
“Saya tidak peduli kalau dia perlu bawa tangki oksigen ke sini. Saya mahu dia beri keterangan hari ini,” katanya.
Semasa sesi soal balas Februari lalu, peguam bela Jagjit Singh menuduh Mahdzir menteri pendidikan “paling korup” kerana meluluskan projek solar hibrid di Sarawak dengan suapan berjumlah RM60 juta.
Jagjit memberitahu mahkamah Mahdzir pada mulanya meminta 20% daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, sebagai upah mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Mahdzir menafikan tuduhan Jagjit.
Rosmah, 69, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta daripada Saidi sebagai habuan mendapatkan projek berkenaan
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu juga dihadapkan dengan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017. – 5 Oktober, 2020.
Komen