DR Mahathir Mohamad berkata beliau tidak dapat menerima Muhyiddin Yassin yang menurutnya telah kembali kepada cara lama untuk melakukan sesuatu.
Bekas perdana menteri itu memberitahu Straits Times bahawa penggantinya itu telah meninggalkan prinsipnya dan menerapkan strategi yang sama seperti digunakan oleh Najib Razak.
Dr Mahathir berkata Muhyiddin sebagai perdana menteri sedia bekerjasama dengan pemimpin Umno Najib Razak yang telah disabitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerana “politik lebih penting dari prinsip”.
“Bagaimana saya dapat menerima Muhyiddin seperti itu?” kata Dr Mahathir.
Pada masa sama Dr Mahathir mengakui beliau tidak mampu untuk mencabar majoritinya di Parlimen kerana pembangkang berpecah atas pilihan calon perdana menteri.
Dr Mahathir tidak percaya pemimpin pembangkang dan sekutu Anwar Ibrahim mendapat sokongan seperti yang didakwa minggu lepas.
“Anwar mempunyai banyak orang yang menentangnya. Sekiranya saya tidak diterima, ramai (penyokong saya) akan menarik diri sehingga dia tidak akan mendapat majoriti.
“Sekarang dia mendakwa dia mendapat sokongan 20 hingga 30 Ahli parlimen tetapi ramai yang tampil menafikannya,” katanya.
Muhyiddin yang bersama Dr Mahathir mengasaskan Bersatu dan memenangi pilihan raya 2018 mengambil alih jawatan perdana menteri pada Februari selepas membawa keluar parti itu dari Pakatan Harapan untuk bersekutu dengan Barisan Nasional.
Sementara itu Dr Mahathir telah menubuhkan Pejuang, sebuah parti Melayu lain yang terdiri daripada kumpulan bekas ahli Bersatu.
Parti itu mempunyai lima kerusi di Parlimen. – 5 Oktober, 2020.
Komen