SEORANG wanita Mexico berusia 103 tahun yang menderita penyakit paru-paru kronik terselamat dari jangkitan Covid-19, umum Institut Keselamatan Sosial Mexico.
Institut IMSS yang merupakan sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan Mexico berkata wanita yang hanya dikenali sebagai Dona Maria telah dimasukkan ke hospital selama 11 hari.
Dia telah diuji positif untuk virus itu tetapi walaupun mengalami masalah paru-paru, dia tidak berdepan masalah lain yang memburukkan lagi keadaannya seperti diabetes, obesiti atau tekanan darah tinggi.
“Itulah yang menyumbang kepada rawatannya,” kata IMSS dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wanita itu dimasukkan pada 22 September di sebuah hospital daerah di Guadalajara di barat Jalisco mengalami demam, masalah pernafasan dan hidung berair. Dia tidak memerlukan alat bantu pernafasan.
Pesakit pulang ke rumah pada Jumaat. Gambar yang dikeluarkna oleh IMSS menunjukkan pesakit memuji doktornya ketika dibawa keluar dari hospital dengan kerusi roda.
Mexico merekodkan 759,953 orang yang dijangkiti virus dan 78,880 kematian akibat Covid-19 sejak Februari.
Salah satu kes yang mengejutkan adalah melibatkan seorang lelaki berusia 118 tahun di tenggara Tabasco yang didiagnosis pada 25 dan telah sembuh sepenuhnya. – AFP, 5 Oktober, 2020.
Komen