Rakyat tak yakin dengan KPT, kata ahli akademik


Alfian Z.M. Tahir

Institusi pengajian tinggi kini menangguhkan kemasukan pelajar baharu selepas diarah kementerian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2020.

SUMBANGAN besar yang diterima dalam jangka waktu yang singkat bagi membantu pelajar universiti yang terkandas menunjukkan masyarakat tidak yakin dengan ahli politik yang mengendalikan sistem pendidikan negara, kata seorang ahli akademik.

Dr Sharifah Munirah Alatas dari UKM berkata sumbangan kilat dengan jumlah yang banyak itu mengirim mesej tidak langsung kepada kerajaan, terutama Kementerian Pendidikan Tinggi, untuk mengambil berat berhubung pendidikan dengan lebih serius.

Beliau menambah bahawa RM150,000 yang disumbangkan masyarakat dalam waktu kurang dari 24 jam bagi kempen yang dimulakan Dr Maszlee Malik harus menjadi pelajaran bagi ahli politik untuk menilai semula peranan mereka dalam masyarakat.

“Hakikat bahawa terdapat lebih dari 4,700 pemohon #siswajagasiswa menunjukkan belia Malaysia dan ibu bapa mereka memandang serius pendidikan. Ini juga menunjukkan ekonomi semasa wabak ini telah mempengaruhi ribuan isi rumah dan memberikan reaksi negatif terhadap arahan menteri pendidikan tinggi,” kata Sharifah.

“Saya rasa sebilangan besar orang yang menyumbang bagi tujuan ini, walau sedikit sahaja sumbangannya, mahu kementerian meningkatkan prestasi mereka.

“Dari satu sudut lain, dorongan untuk menderma dan mendukung usaha yang dimulakan Maszlee mengirim mesej secara tidak langsung kepada menteri dan pegawainya bahawa mereka harus mengambil berat tentang pendidikan dengan lebih serius,” tambahnya.

Beliau berkata insiden ini adalah pelajaran bagi ahli politik supaya tidak menyalahgunakan kedudukan mereka, tetapi membantu rakyat apabila diperlukan.

Maszlee, yang merupakan bekas menteri pendidikan, mengumpul lebih dari RM150,000 bagi membantu pelajar universiti yang terkandas berikutan perubahan saat akhir berhubung kemasukan pelajar baharu pada hari Jumaat.

Dalam catatan Facebook beliau pada hari Ahad, ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata bahawa beliau berjaya mengumpulkan RM150,648 daripada orang ramai dalam masa 24 jam.

Beliau juga menerima lebih daripada 4,700 permohonan dari pelajar yang terjejas akibat keputusan Kementerian Pengajian Tinggi yang menangguhkan kemasukan pelajar baharu untuk bulan Oktober berikutan peningkatan kes Covid-19.

Maszlee Malik mengumpul lebih RM150,000 bagi membantu pelajar universiti yang terkandas berikutan perubahan saat akhir berhubung kemasukan pelajar baharu pada hari Jumaat.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2020.

Menteri KKM Noraini Ahmad dikritik hebat kerana membuat perubahan saat akhir sehingga ramai ibu bapa terjejas.

Berikutan reaksi balas daripada pelajar dan ibu bapa, ahli Parlimen Parit Sulong itu meminta pelajar yang telah tiba di kampus untuk tinggal di sana sehingga diberitahu arahan susulan di samping menasihati orang lain untuk menangguhkan rancangan perjalanan mereka.

Noraini berkata, kementerian mencadangkan penangguhan pendaftaran itu berikutan lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

Sharifah berkata kerajaan harus lebih cekap ketika melaksanakan dasar, dan menambah bahawa KKM harus selalu berkomunikasi dengan universiti bagi memastikan wujud pelan ketika kecemasan.

“Walaupun wabak Covid-19 ini belum pernah terjadi sebelum ini, kita sekarang sudah enam bulan menghadapi wabak ini, pengalaman selama lebih enam bulan.

“Kita sudah tahu selama berbulan-bulan kemungkinan berlakunya lonjakan jangkitan, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya Sabah. Tidak ada alasan bagi KKM untuk tidak memiliki rancangan cadangan.

“Prosedur selama semua fasa Perintah Kawalan Pergerakan didokumentasikan dengan baik. Tidak ada sebab mengapa kementerian tidak boleh koordinasi dengan universiti bagi meningkatkan prosedur yang lebih ketat, dengan mematuhi SOP ketat ini, di samping boleh membenarkan pendaftaran pelajar baharu,” kata Munirah lagi.

Beliau turut menambah bahawa isu ini sebenarnya adalah membabitkan melaksanakan tugas pentadbiran dengan efisien, mematuhi prosedur, dan melaksanakan langkah-langkah ketat keselamatan kesihatan selain komunikasi yang konsisten.

“Kekacauan terbaru ini dalam keputusan menangguhkan pendaftaran pelajar secara langsung menunjukkan kurangnya keprihatinan mereka terhadap pemuda, dan juga masyarakat pada umumnya.

“Pendidikan adalah kunci bagi rakyat Malaysia. Ia diteliti tanpa henti, dan diperhati secara. Kementerian harus buat kerja lebih elok!” ujarnya.– 5 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen