Mekah benarkan 'umrah' secara terhad


Ribuan jamaah memasuki Masjid Al-Haram secara berkumpulan bagi menunaikan tawaf mengelilingi Kaabah, sebuah struktur bongkah yang menjadi simbol doa umat Islam di seluruh dunia. – Gambar AFP, 4 Oktober, 2020.

UMAT ​​Islam yang memakai topeng mula menunaikan tawaf dengan menjaga penjarakan sosial pada Ahad selepas kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah umrah dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) dikuat kuasa sepanjang tujuh bulan wabak Covid-19 melanda negara itu.

Ribuan jamaah memasuki Masjid Al-Haram secara berkumpulan bagi menunaikan tawaf mengelilingi Kaabah, sebuah struktur bongkah yang menjadi simbol doa umat Islam di seluruh dunia.

Umrah, adalah ibadah yang boleh ditunaikan sepanjang tahun menjadikan jutaan umat Islam dari seluruh dunia menuju ke negara itu setiap tahun namun terpaksa dihentikan sejak beberapa bulan lalu susulan pandemik.

Kebenaran itu dilaksanakan dengan tiga fasa, Menteri Haji Arab Saudi Mohammad Benten berkata minggu lalu bahawa 6,000 jemaah setiap hari diizinkan pada tahap pertama dalam jangka waktu yang ditetapkan.

Menurut media kerajaan, sejumlah langkah pencegahan telah diambil bagi membendung jangkitan wabak itu.

Batu Al-Aswad yang biasanya dikucup hanya dibenarkan untuk dilambai sahaja oleh para jamaah umrah. Seluruh masjid disanitasi sebelum dan sesudah setiap kumpulan jamaah melaksanakan ibadah.

Setiap kumpulan dianggotai 20 atau 25 jemaah wajib ditemani pekerja kesihatan dan pasukan perubatan sekiranya berlaku kecemasan, kata Benten.

“Dalam suasana iman dan hati yang yakin ... kumpulan pertama jemaah memulakan haji sesuai dengan langkah SOP yang ditetapkan,” kata kementerian haji di akaun Twitter. – Bernama, 4 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen