Lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor dan Sabah


Alfian Z.M. Tahir

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan terhadap penduduk di Jeti Safma di Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 4 Oktober, 2020.

DUA kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah dan Selangor, menjadikan jumlah kluster aktif di seluruh negara meningkat kepada tujuh kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster di Sabah, dikenali sebagai Kluster Kau Sing, bermula apabila seorang wanita berusia 20 tahun diuji positif virus itu pada 25 September.

“Wanita itu telah dihantar ke Hospital Tawau,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata tujuh individu berkait rapat dengan kluster itu diuji positif, melibatkan lima warganegara dan dua rakyat asing.

Seramai 27 individu telah disaring setakat ini, katanya.

Sumber jangkitan kluster tersebut masih disiasat.

Kluster kedua di Selangor digelar Kluster Embun, dengan kes indeks merupakan lelaki berusia 41 tahun yang didapati positif selepas menjalani ujian saringan.

Lelaki itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Empat kontak rapat didapati positif dan setakat hari ini, seramai 52 individu telah menjalani ujian saringan dengan 21 daripadanya negatif dan baki masih menunggu keputusan,” kata Dr Noor Hisham.

Lima lagi kluster aktif di seluruh negara adalah Kluster Tembok di Kedah dan Perak, Kluster Benteng di Lahad Datu, Sabah, Kluster Jalan Meru di Selangor, Kluster Bangau-Bangau di Sabah dan Kluster Bah Rose di Kedah dan Pulau Pinang.

Sebanyak 112 kes baharu dikesan daripada Kluster Tembok yang melibatkan banduan dan staf Penjara Alor Setar.

Awal hari ini, Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) selama dua minggu terhadap Penjara Alor Setar dan kuarters kakitangannya.

Perintah kawalan itu akan bermula tengah malam ini.

Malaysia hari ini mencatatkan 293 kes baharu yang kebanyakannya dikesan di Kedah dan Sabah.

Sabah merekodkan 126 kes baharu manakala Kedah sebanyak 113 kes. – 4 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen