Pakatan Sabah runding agihan kerusi dengan pembangkang tempatan


Jason Santos

Hari ini, Pakatan Harapan Sabah memberi sedikit gambaran kemungkinan akan adanya gabungan antara pembangkang kebangsaan dengan pembangkang negeri untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti. Gambar hiasan menunjukkan seorang wanita berjalan menuju ke pusat undi ketika pilihan raya negeri Sabah pada 1999. – Gambar AFP, 14 Disember, 2017.

NAMPAK gaya parti pembangkang di Sabah mungkin akan bekerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Perbincangan berterusan sedang diadakan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah dan parti pembangkang Sabah.

Pengerusi PH Sabah Christina Liew berkata, semua perkara berhubung perbincangan itu akan diketahui kelak, dan akan didedahkan ketika sambutan rumah terbuka Krismas PH Sabah yang dijadualkan pada 22 Disember ini.

Pembangkang peringkat kebangsaan juga dijangka mendedahkan manifesto kedua ketika majlis itu, di mana ianya akan melibatkan ahli PH Sabah dari Tenom, Keningau, Bingkor, Tambunan, Pensiangan dan Nabawan.

“Kami akan lancarkan pra-manifesto kedua yang dinamakan ‘Pembangunan Ekonomi Luar Bandar.’

“Pemimpin PH peringkat kebangsaan seperti Naib Presiden PH yang juga Presiden Amanah Mohammad Sabu juga akan menghadiri majlis itu nanti.

“Waktu itulah, sesiapa yang datang majlis itu akan tahu parti pembangkang Sabah mana yang PH Sabah sedang berunding,” katanya.

Perkara ini mula timbul sebaik sahaja ahli PH Sabah yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah berbincang pembahagian kerusi pada 9 Disember lalu.

Menurut sumber dalaman mengatakan PH Sabah telah menamakan Parti Warisan Sabah diketuai Shafie Apdal dan Parti Cinta Sabah dikepalai Wilfred Bumburing sebagai antara yang sedang dalam rundingan dengan PH Sabah.

Setakat ini, hanya Warisan sahaja yang menunjukkan sokongan terhadap PH Sabah.

Bagaimanapun, Liew enggan mengakui sama ada akan ada lebih parti yang terlibat atau adakah PH Sabah akan berbincang dengan gabungan parti pembangkang Sabah iaitu United Sabah Alliance (USA) ke dalam senarai pakatan pembangkang.

Difahamkan PH Sabah telah menolak USA kerana pandangan pemimpinnya seperti Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) yang tidak mahu PH Sabah menambah jumlah kerusi untuk PRU nanti.

Lajim berkata demikian agar PH Sabah memberi kerusi kepada USA, terutamanya kepada Sabah Solidariti Tanah Airku (Sabah Star), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Sabah Progressive Party (SAPP) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS). – 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen