ICELAND, yang kini menjadi salah satu negara yang memiliki prestasi cemerlang membendung Covid-19 mengumumkan sekatan lebih ketat selepas menyaksikan lonjakan kes baharu sejak pertengahan bulan lalu.
Kementerian kesihatan negar itu berkata pada lewat Sabtu bahawa mulai Isnin depan, kebanyakan kemudahan sukan, bar dan disko akan ditutup sementara himpunan hanya akan terhad dengan angka maksimum 20 orang.
Pasar raya dibenarkan untuk menerima 100 pelanggan sahaja sementara kolam renang hanya dibenarkan beroperasi pada kadar 50% sahaja.
Sekatan ini akan berlangsung dua hingga tiga minggu, kata kementerian itu.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, jumlah kes baharu setiap hari secara relatif adalah stabil pada angka 30 hingga 40. Maka, jelas langkah-langkah ketika ini tidak cukup untuk mengawal wabak,” kata ketua ahli epidemiologi Thorolfur Gudnason dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada kementerian.
Pihak berkuasa kesihatan Iceland telah mengambil langkah-langkah yang disasarkan di samping turut menggabungkannya dengan peraturan kebersihan umum dan penjarakan sosial dalam usaha mengawal virus tersebut.
Langkah terbaru itu diambil selepas Covid-19 dikesan di dua rumah jagaan di Rekyavik dan peningkatan kemasukan ke hospital sehinggan menyaksikan peningkatan tujuh kali ganda dalam seminggu.
“Hospital tidak sedia untuk menangani kemasukan pelanggan seakan mereka kini berada di musim semi,” kata Pall Matthiasson, ketua Hospital Universiti Iceland, dalam sebuah pesanan kepada orang ramai dan kakitangan di laman webnya pada hari Jumaat.
Sejak 19 hari lalu, Iceland melaporkan 663 kes baru, yang kebanyakannya di Reykjavik dan kawasan sekitarnya.
Iceland, tempat tinggal 365,000 orang penduduk, telah mencatatkan 2,872 kes dan 10 kematian sejak wabak itu bermula awal tahun ini. – AFP, 4 Oktober, 2020.
Komen