KETUA Kakitangan Rumah Putih Mark Meadows berkata kesihatan Donald Trump, termasuk penurunan tahap oksigen darahnya, menyebabkan doktor yang merawat presiden itu “sangat bimbang” walaupun keadaannya bertambah baik.
Komen Meadows kepada Fox News memberikan penjelasan selepas beberapa laporan berbeza berhubung kesihatan presiden itu sehingga mewujudkan tanda tanya mengenai keadaan sebenar pemimpin utama negara itu.
“Dia semakin pulih dari pagi semalam, doktor dan saya, sangat bimbang,” kata Meadows.
Sebelum ini media negara itu melaporkan Meadows berkata “kesihatan presiden itu sejak 24 jam lalu sangat membimbangkan.”
Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan penilaian pasukan doktor Rumah Putih bahawa presiden “dalam keadaan yang sangat baik.”
Meadows menjelaskan ulasan beliau berhubung kesihatan Trump yang buruk adalah bagi hari sebelumnya.
“Pagi semalam, kami benar-benar bimbang ... beliau demam dan tahap oksigen darahnya menurun secara mendadak,” kata Meadows kepada Fox.
Namun, “tidak pernah ada pertimbangan atau bahkan tidak ada risiko perubahan pentadbiran,” jelas Meadows.
Semalam, Doktor Rumah Putih Sean Conley berkata Trump “belum keluar dari hutan,” tetapi pasukan perubatan “optimis bersiaga.”
Meadows juga menegaskan sentimen serupa dengan berkata bahawa beliau “sangat, sangat optimis, berdasarkan pemeriksaan terkini (terhadap Trump).”
Presiden Trump menyiarkan video dalam akaun Twitter lewat Sabtu menunjukkan beliau kelihatan santai dengan kemeja terbuka dan sut biru, memberitahu pengikutnya bahawa beliau akan “segera kembali” kerana hari-hari mendatang yang adalah “ujian sebenar” bagi dirinya. – AFP, 4 Oktober, 2020.
Komen