Penjara Alor Setar, kuarters kakitangan dikenakan PKPDB selama 14 hari


Penjara Alor Setar dan kuarters kakitangan akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) selama dua minggu, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2020.

PENJARA Alor Setar dan kuarters kakitangan akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) selama dua minggu, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Pertahanan) itu berkata langkah itu akan dilaksanakan berkuat kuasa tengah malam ini.

Ismail berkata keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes di penjara yang dikenali sebagai Kluster Tembok.

“Mengambil kira peningaktan kes dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, PKPDB secara pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari mulai 12.01 tengah malam ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pelaksanaan PKPDB akan memberi ruang kepada KKM untuk melakukan ujian saringan secara bersasar.

“Bagi tempoh 14 hari ini, tiada pergerakan masuk dan keluar di kawasan itu termasuk lawatan keluarga banduan,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 225 kes positif Covid-19 direkodkan daripada Kluster Tembok.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham jangkitan pada kluster ini berlaku dan merebak di pusat penjara di Kota Setar dengan kes indeks tersebut adalah kakitangan penjara yang meninggal dunia pada Rabu lalu.

“Ia berlaku di kawasan tertutup, bukan di kawasan awam. Kes indeks meninggal dunia pada Rabu lalu dan pesakit merupakan salah seorang kakitangan yang menguruskan kemudahan itu.

“Tiga yang lain kemudian menjangkiti kakitangan itu. Selepas dikesan, adalah tugas kami untuk melakukan saringan seperti apa yang kami lakukan di depot Bukit Jalil,” katanya.

Mengenai sumber jangkitan, Dr Noor Hisham berkata kemungkinan besar pesakit indeks telah membawa virus tersebut ke bangunan berkenaan.

“Kami masih menyiasat tetapi kemungkinan besar ia sudah merebak di penjara.

“Itulah sebabnya kita perlu memastikan di depot imigresen atau penjara perlu ada hubungan minimum dengan orang luar atau bahkan dengan kakitangan penjara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kesemua 287 kes yang dilaporkan hari adalah jangkitan tempatan tanpa kes import.

Dari jumlah tersebut 20 adalah mereka yang pulang dari Sabah.

Semalam Malaysia mencatatkan 317 kes baharu dengan 102 daripadanya dikesan di Kedah. – 4 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen