LEBIH 1,000 orang di Kelantan telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 27 Sept sehingga semalam, terutama mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin berkata mereka yang diuji itu dari beberapa kawasan di negeri ini.
“Sehingga semalam, lapan individu di negeri ini sudah diuji positif Covid-19 dan kesemuanya sudah ditempatkan di hospital seperti di Hospital Tumpat dan Hospital Sultan Ismail Petra,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaini menafikan JKNK ada mengeluarkan arahan supaya masjid ditutup seperti yang diviralkan di laman sosial.
“Setakat ini tiada sebarang arahan daripada JKNK. Orang ramai tidak seharusnya sewenang-wenangnya menerima khabar angin itu tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak bertanggungjawab.
“Orang ramai juga boleh meminta penjelasan daripada jawatankuasa masjid sekiranya mahukan jawapan sebenar. Kadang kala ada juga individu membuat keputusan tanpa merujuk kepada pihak yang sepatutnya termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau juga berkata tiada tadika ataupun sekolah di negeri ini diarahkan ditutup ekoran pandemik itu setakat ini. – Bernama, 4 Oktober, 2020.
Komen