BEKAS menteri pendidikan Dr Maszlee Malik berjaya membuat kutipan sebanyak RM150,000 dalam tempoh 24 jam bagi membantu pelajar universiti yang terkandas susulan pengumuman saat akhir penangguhan pendaftaran pengambilan.
Menurutnya, kempen untuk mengutip sumbangan itu sudah ditutup dan proses saringan sedang dijalankan untuk menyaurkan bantuan kepada pelajar yang layak.
Dalam posting Facebooknya petang semalam, ahli Parlimen Simpang Renggam itu mendedahkan sebanyak RM150,648 berjaya dikutip daripada masyarakat umum.
Katanya, sebanyak 4,763 permohonan diterima daripada pelajar yang terjejas berikutan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi itu.
“Setakat 7 malam 3 Oktober, kita berjaya mengutip RM150,648 dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
“Kita telah menutup kempen #SiswajagaSiswa untuk meneruskan proses saringan dan mempercepatkan agihan sumbangan,” katanya.
Maszlee berkata, setakat ini 50 pelajar yang sangat memerlukan teah menerima bantuan berkenaan.
Katanya, proses audit khas akan dijalankan dan butirannya akan didedahkan kepada umum.
“Saya mahu berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu menjayakan kempen ini, walaupun hanya mendermakan RM1.
“Pada masa yang sama, audit khas akan dijalankan bagi memastikan setiap sen yang didermakan akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih Malaysia. #rakyatjagarakyat,” katanya.
Maszlee sebelum ini berkata, beliau menerima aduan daripada ibu bapa dan pelajar tidak mempunyai wang yang cukup untuk pengangkutan dan penginapan selepas penangguhan itu.
Jumaat lalu, Kementerian Pengajian Tinggi menasihatkan agar semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pengambilan dan pendaftaran secara bersemuka susulan peningkatan kes Covid-19. – 4 Oktober, 2020.
Komen