IRAN pada Sabtu melaksanakan semula langkah di wilayah Tehran untuk mengekang koronavirus, lapor stesen TV kerajaan, menutup tempat awam dan membatalkan acara beberapa hari selepas satu lagi rekod bagi jumlah kes.
Langkah itu mulai berkuat kuasa pada Sabtu selama seminggu, kata penyiar itu, dengan memetik arahan dari pejabat gabenor Tehran.
Di bawah sekatan itu, universiti dan pusat pendidikan, masjid, pawagam, muzium, dewan perkahwinan, salon kecantikan, gimnasium, kafe, kebun binatang dan kolam renang akan ditutup, lapor TV kerajaan.
“Acara dan persidangan budaya dan sosial” dibatalkan dan solat Jumaat tidak akan diadakan, tambahnya.
Republik Islam itu mengesahkan 3,825 kes Covid-19 pada Khamis, melebihi rekod tinggi pada 22 September.
Sekatan tersebut sama seperti dilaksanakan semasa awal wabak di Iran, yang menghentikan langkah pengurungan sepenuhnya, walaupun berdepan wabak meragut nyawa di Timur Tengah.
Langkah itu secara bertahap ditarik balik pada April untuk menghindari krisis ekonomi yang semakin parah susulan sekatan Amerika Syarikat pada 2018.
Presiden Iran Hassan Rouhani pada Sabtu menggesa denda dan hukuman berat bagi mereka yang ingkar protokol kesihatan.
“Kita mesti menetapkan denda yang berat bagi mereka yang sedar dijangkiti tetapi tidak menjalani kuarantin selama 14 hari atau bahkan memberitahu orang lain” mereka dijangkiti virus, kata Rouhani semasa mesyuarat pasukan petugas koronavirus nasional.
Beliau menambah pegawai kerajaan yang tidak mematuhi peraturan boleh digantung selama setahun jika amaran pertama tidak dipatuhi.
Tidak memakai pelitup muka akan dikenakan denda dan perniagaan ditutup jika peraturan kesihatan tidak dipatuhi, menurut presiden.
Kementerian kesihatan Iran pada Sabtu mengumumkan 3,523 jangkitan Covid-19 baharu, menjadikan jumlah kes sejak Februari kepada 468,119.
Angka kematian harian sebanyak 179 menjadikan jumlah kematian akibat penyakit itu kepada 26,746. – AFP, 4 Oktober, 2020.
Komen