DONALD Trump menunjukkan progres yang baik dalam rawatan hospitalnya untuk Covid-19, kata doktor semalam, tetapi sumber yang mengetahui keadaan presiden AS itu memberi amaran tanda vitalnya membimbangkan, dengan 48 jam berikutnya adalah tempoh kritikal.
Trump boleh bergerak, tidak demam selama 24 jam dan batuk, hidung tersumbat dan keletihannya bertambah baik, kata doktor Sean Conley semasa kemas kini pertama sejak presiden dimasukkan ke pusat perubatan ketenteraan Walter Reed dekat Washington pada Jumaat.
Trump, 74, tidak menerima oksigen tambahan, dan dalam keadaan baik. Seorang lagi doktor, Sean Dooley, berkata fungsi jantung, buah pinggang dan hati presiden adalah “normal”.
Tetapi sumber yang mengetahui kesihatan presiden - yang kemudian disebut di media AS sebagai ketua kakitangan White House Mark Meadows - memberikan penilaian lebih membimbangkan.
“Tanda vital presiden dalam tempoh 24 jam terakhir sangat membimbangkan dan 48 jam akan datang sangat penting dalam rawatannya,” kata beliau.
“Kami masih belum jelas bagi pemulihan sepenuhnya.”
White House belum memberikan komen secara rasmi dan Meadows meminta kenyataannya tidak direkodkan sebelum namanya muncul sebagai sumber di The New York Times dan media AS yang lain.
Dalam perkembangan menggembirakan, Trump mula menulis di Twitter semalam, meyakinkan beliau berasa sihat dan memuji kakitangan hospital. – AFP, 4 Oktober, 2020.
Komen