Sarawak mula usaha jejak kontak Covid-19 di Bario


Bario, kawasan tanah tinggi pedalaman Sarawak kini jadi tumpuan pengesanan kontak Covid-19 selepas seorang pesakit melawat kawasan itu pada 30 September lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

PA’ Dalih, Bario, sebuah kawasan dataran tinggi yang agak terpencil di pedalaman sebelah utara Sarawak kini menjadi fokus Jabatan Kesihatan untuk melaksanakan pengesanan kontak selepas seorang pekerja minyak dan gas didapati positif Covid-19 telah melawat kawasan itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pekerja terbabit, lelaki, 49, yang bekerja di Iraq dilaporkan pernah melawat keluarga beliau di Bario dalam tempoh 14 hari lepas, sebelum dikesan positif penyakit itu pada 30 September lepas.

“Sehingga hari ini, seramai lapan orang kontak telah dikesan di sekitar Miri (bandar raya paling dekat dengan Bario) dan pengesanan kontak di Pa’ Dalih sedang dilakukan. Jabatan Bomba dan Penyelamat juga membantu menerbangkan dengan helikopter petugas kesihatan untuk menjalankan saringan kontak. Anggaran kontak rapat di Pa’ Dalih ialah 17 orang,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan lanjut dan pengesanan kontak telah dilakukan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri sebaik sahaja menerima notifikasi berkaitan kes itu daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Selangor pada 2 September lepas. 

JPBN Sarawak hari ini mengesan tiga kes baharu yang menjadikan keseluruhannya 716 kes Covid-19 di Sarawak, sejak Mac lepas.  – Bernama, 3 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen