Politikus bukan punca utama lonjakan kes Covid-19 di Semenanjung, kata menteri


Ravin Palanisamy

Rakyat menggunakan media sosial meluahkan kemarahan kerana lonjakan kes Covid-19 yang dianggap mereka salah politikus yang pulang berkempen di PRN Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

WALAUPUN ada politikus yang pulang dari Sabah positif Covid-19, kumpulan itu tidak membentuk keseluruhan kes aktif sekarang, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media hari ini, Ismail berkata tidak ada sebab untuk rakyat panik kerana jumlah kes positif dalam kalangan mereka yang pulang dari Sabah hanya satu peratus daripada jumlah yang disaring.

“Hampir 13,000 mereka yang pulang dari Sabah disaring dan daripada jumlah ini hanya lebih kurang 130 yang diuji positif. Ini hanya satu peratus daripada jumlah yang disaring.

“Ramai yang mula panik seolah-olah separuh yang balik (dari Sabah) diuji positif. Jika separuh, maksudnya lebih kurang 7,000 orang.

“Ini hanya 132 dan jumlah ini bercampur-campur…saya tak nafi ada ahli politik yang berkempen di Pilihan Raya Negeri Sabah (positif). Tetapi jumlah itu juga melibatkan pelancong yang pergi bercuti, urusan rasmi atau tujuan kerja.

“Jadi, satu peratus itu bukan semuanya ahli politik tetapi bercampur-campur (kumpulan),” kata menteri pertahanan itu lagi.

Sejak melonjaknya kes Covid-19 beberapa hari lalu, rakyat Malaysia meluahkan kemarahan kepada politikus di media sosial, menyalahkan mereka atas situasi semasa.

Malaysia terus melaporkan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lepas, dengan banyak kes dilaporkan mempunyai rekod perjalanan ke Sabah yang baharu selesai mengadakan pilihan raya.

Menggunakan tanda pagar #KlusterMenteri dan #PoliticiansPuncaVirus, pengguna media sosial meluahkan kekecewaan dan mengecam politikus.

Dalam dua hari sahaja, Malaysia melaporkan lebih 500 kes baharu Covid-19, dengan jumlah kes harian tertinggi pernah dicatat negara sebanyak 287 dilaporkan semalam.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan wujud peningkatan trend kes baharu berkaitan Sabah sejak beberapa minggu lepas.

Beberapa politikus yang pulang daripada berkempen di PRN Sabah pada 26 September lalu juga disahkan positif, manakala ramai lagi sedang menjalani kuarantin kendiri. – 3 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen