Tiada PKP 2.0 kerana situasi terkawal, kata Ismail Sabri


Ravin Palanisamy

Polis berkawal di Jalan Tuaran, Sabah ketika negara itu diletakkan di bawah sekatan rentas daerah bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 3 Oktober, 2020.

KERAJAAN tidak merancang menguatkuasa perintah kawalan pergerakan kedua kerana lonjakan kes Covid-19 yang berlaku sekarang masih terkawal, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

“PKP ke hari ini? Tidak,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian untuk memadamkan khabar angin bertiup kencang yang PKP mungkin dikuatkuasa di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Tambahnya, walaupun wujud lonjakan kes Covid-19, situasi masih dianggap tidak serius.

Malaysia melaporkan 287 kes baharu Covid-19 semalam, kes harian tertinggi pernah dilaporkan sejak negara diserang wabak bahaya itu.

Kata Ismail lagi, walaupun banyak kes dilaporkan di Kedah dan Sabah, ia berada dalam kawasan yang sudah dikawal.

“Kita tidak akan mengisytiharkan PKP kerana contohnya semalam, walaupun mencatatkan jumlah 287 kes tetapi 128 daripada 129 kes di Kedah misalnya, adalah melibatkan Kluster Tembok iaitu mereka di dalam penjara.

“Di Sabah, 35 kes adalah melibatkan Kluster Benteng juga di penjara… yang di luar 78 kes dan walaupun angka itu juga besar namun kami sudah buat kawalan,” kata menteri pertahanan itu lagi.

Sejak dua hari lepas, Malaysia merekodkan lebih 500 kes baharu dengan kes harian tertinggi pernah dilapor negara sebanyak 287, semalam.

Sabah dan Kedah merekodkan ratusan kes semalam, dengan Selangor pula puluhan kes dan negeri itu tidak mempunyai zon merah.

Ismail bagaimanapun menjelaskan yang walaupun berlaku lonjakan kes, secara keseluruhannya situasi dalam negara masih berada pada tahap selamat.

“Jadi kalau kita tengok, kebanyakan satu atau dua kes di setiap negeri, jadi bukan satu perkara yang membimbangkan.

“Kalau satu, dua kes kita nak buat sekatan satu negara, sampai bila pun negara kita PKP…,” katanya.

Tambah Ismail lag, kerajaan hanya akan mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketat ke kawasan yang melaporkan jumlah kes membimbangkan.

“Katalah Selangor… kita tidak akan laksanakan sekatan pergerakan seluruh negara, seluruh negeri itu atau seluruh daerah, hanya sasar kawasan seperti satu kawasan flat atau satu kawasan kampung yang terlibat,” katanya. – 3 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen