MENTERI Pendidikan Tinggi Noraini Ahmad memberitahu pelajar yang sudah tiba di universiti supaya kekal berada di sana hingga arahan lanjut diberikan, sementara mereka yang masih di rumah, dinasihatkan menangguhkan rancangan perjalanan pulang ke kampus.
“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti.
“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, selepas teruk dikecam oleh pelajar.
“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.”
Noraini berkata kementerian terpaksa mencadangkan penangguhan pendaftaran secara fizikal susulan kenaikan kes jangkitan Covid-19 yang mendadak di negara ini.
“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal,” katanya.
Semalam, kementerian itu membuat saat akhir perubahan untuk mengalih kelas dan pendaftaran secara online susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
Ribuan pelajar terkejut dengan arahan itu kerana mereka sudah pun dalam perjalanan ke kampus masing-masing bagi memulakan semester baharu.
Mereka mengecam keputusan itu menerusi Twitter dengan menggunakan tanda palang #MenteriKPTsilaletakjawatan.
Hari ini, Noraini berkata Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta merta.
Beliau berkata ia selaras dengan dasar kerajaan memberi autonomi kepada pengurusan IPT.
Selepas pengumuman kementerian itu semalam, orang ramai dan parti Muda menggerakkan kutipan sumbangan untuk membantu pelajar yang terkandas dan berjaya mengutip RM51,145 dalam tempoh tiga jam. – 3 Oktober, 2020.
Komen