AHLI politik Perikatan Nasional (PN) perlu dipertanggungjawabkan atas penularan virus Covid-19 di Sabah serta di semenajung Malaysia, kata wakil rakyat DAP Charles Santiago hari ini.
Ahli Parlimen Klang itu berkata ahli politik terbabit gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) “hanya kerana mereka hendak sangat menang Pilihan Raya Negeri Sabah”.
Beliau berkata setiap ahli politik, anggota Kabinet atau penjawat awam kanan yang gagal menjalankan tugas mereka, mengamalkan pilih kasih dan mengetepikan protokol, perlu dihukum.
“Mereka yang pulang dari Sabah perlu menjalani kuaranti 14 hari,” katanya merujuk pada kuarantin tiga hari yang dilaksanakan. Ini bermakna, seseorang itu bebas daripada kuarantin selepas keputusan ujian kedua negatif pada hari ketiga.
“Amat mengecewakan bila sekatan perjalanan ke Sabah tidak dikuatkuasakan walaupun jumlah kes jangkitan naik dengan pantas di pulau Borneo itu.
“Sekarang jangkitan sudah menular dan kemungkinan tambahan kes lagi dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada jumlah kes jangkitan baharu yang tinggi iaitu 278 direkodkan di negara ini semalam.
Sebanyak 20 kes dilaporkan semalam membabitkan mereka yang pulang dari Sabah.
Santiago berkata jika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan sekali lagi, ekonomi negara akan lumpuh.
Katanya, ia juga bermakna semakin ramai rakyat akan hilang pekerjaan, bertambah lagi perniagaaan ditutup, serta mendorong tekanan perasaan dalam kalangan penduduk. – 3 Oktober, 2020.
Komen