Kegagalan Warisan Plus, pengajaran untuk GPS


Desmond Davidson

Rakyat Sarawak makin sedar hak mereka dalam Perjanjian Malaysia 1963, isu yang perlu dimainkan semua parti politik di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mempunyai lebih banyak kelebihan dalam pilihan raya negeri akan datang berbanding Warisan Plus di Sabah, kata penganalisis James Chin.

Ini disebabkan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg boleh memainkan fakta bahawa negeri kaya minyak itu berjaya membuatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Petronas bersetuju untuk membayar berbilion ringgit cukai jualan produk petroleum, sesuatu yang tidak mampu dibuat Warisan yang diterajui Mohd Shafie Apdal.

“Memandangkan ini adalah pilihan raya negeri pertama di bawah (sepanduk) GPS, pilihan raya akan menjadi soal cubaan GPS ‘memerdekakan’ Sarawak daripada kerajaan Persekutuan dan menunjukkan (kepada Putrajaya) yang orang Sarawak mampu memerintah dengan campur tangan minimum Persekutuan,” kata Chin, pengarah Asia Institute University of Tasmania.

Khabar angin bertiup kencang yang PRN Sarawak akan diadakan dalam suku pertama tahun depan memandangkan mandat GPS akan tamat pada Jun.

Ada juga pendapat yang pilihan raya negeri akan diadakan selepas Putrajaya membentangkan Belanjawan 2021 pada November ini, dengan ramalan GPS akan merangka manifesto berdasarkan “belanjawan pilihan raya” itu.

Chin berkata Sarawak semakin lantang dan tegas dalam isu berkaitan identiti dan autonomi negeri itu.

Ia sampai ke kemuncaknya apabila Sarawak bertindak mencapah daripada dasar pendidikan kebangsaan dengan menubuhkan sekolah antarabangsa diuruskan kerajaan negeri dan stesen televisyen sendiri.

Sarawak juga menubuhkan syarikat petroleum negeri supaya dapat meminimumkan kesan keputusan syarikat petroleum negara, Petronas, berkaitan sumber minyak dan gas negeri itu.

Langkah ini berasaskan dokumen sejarah, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), apabila Sarawak dan Sabah bersetuju membentuk Malaysia bersama-sama Malaya dengan status rakan setara.

Warisan pimpinan Shafie Apdal (kanan) di Sabah sudah tumbang, kini giliran GPS diterajui Abang Johari Openg pula diuji pada pilihan raya negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

Aktivis hak negeri, bagaimanapun, berkata hak diberikan MA63 perlahan-lahan terhakis sejak pemaktubannya.

Ramai juga penduduk Sarawak yang kecewa walaupun negeri itu kaya sumber dan cukai tinggi dibayar kepada Putrajaya, pembangunan sumber manusia dan infrastrukturnya tidak setara Semenanjung.

Chin berkata dalam kes PRN Sabah, GPS sebenarnya tidak perlu terlalu mencari pengajaran sebaliknya mencari peluang mendapatkan faedah daripada hubungan antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang bergolak, terbukti dalam isu pembahagian kerusi dan calon ketua menteri Sabah.

Penganalisis politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya juga bersetuju dengan pandangan itu, berkata kekeruhan hubungan BN dan PN yang kedua-duanya bersatu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika pilihan raya boleh dijadikan pengajaran oleh GPS.

Dua pengajaran yang boleh diteladani adalah kepentingan konsensus walaupun wujud perbezaan pandangan dan jangan bergaduh secara terbuka.

Awang Azman merujuk kepada perseteruan antara Umno dan Bersatu dalam soal ketua menteri dan portfolio menteri Sabah.

“Selesaikan kemelut secara tertutup. Tidak perlu bergaduh secara terbuka untuk jawatan ketua menteri.”

Sarawak makin lantang menuntut haknya dari Putrajaya, tindakan yang mendapat sokongan penduduk negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing pula berkata PRN Sabah membuktikan yang rakyat masih boleh lantang mengecam Putrajaya tentang hak negeri dan ketidakpatuhan kepada MA63 dan tindakan itu tidak mendatangkan kesan buruk.

Beliau mengulas dakwaan yang perjuangan menuntut hak negeri adalah satu kesalahan hasutan.

“Ia (berkempen untuk hak negeri) tidak datangkan kesan negatif kepada Persekutuan Malaysia.”

Tambang Masing lagi, sentimen negeri bakal menjadi aspek penting dalam PRN Sarawak kerana penduduk negeri itu semakin sedar tentang hak mereka.

Kempen BN Sarawak untuk mengembalikan hak negeri ditetapkan MA63 yang terhakis berjaya menarik perhatian rakyat pada pilihan raya negeri 2016, memberinya kemenangan besar.

Seorang lagi menteri Sarawak, Talib Zulpilip berkata kerajaan GPS perlu meredakan kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat pada pilihan raya negeri akan datang.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri itu berkata itulah kegagalan utama Warisan di Sabah apabila ramai penduduk negeri itu bengang apabila bantuan yang dijanjikan tidak ditunaikan.

Selain itu, Warisan juga gagal melenyapkan kebimbangan penduduk Sabah tentang soal pendatang asing tanpa izin, kata Talib yang juga Adun Jepak itu. – 3 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen