SEMUA restoran berkonsepkan bar di Selangor perlu ditutup pada jam 11 malam bermula esok, di bawah langkah terbaru kerajaan negeri untuk mengekang penularan Covid-19 susulan lonjakan kes yang berlaku.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata ketetapan itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) petang tadi dan Mesyuarat Pasukan Petugas COVID-19 Selangor (STFC) semalam.
“Kegagalan pematuhan arahan ini akan membolehkan lesen perniagaan mereka dibatalkan pada kadar serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sekarang, restoran dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 pagi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan sehingga 31 Disember.
Selain itu, bermula Ahad ini, Selangor akan menyediakan khidmat saringan Covid-19 percuma kepada penduduknya yang mempunyai rekod perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 Oktober.
“Saringan ini boleh dilakukan di semua cawangan Selcare Clinic milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd dengan pembuktian dokumen penerbangan pulang dari Sabah serta bukti pemastautin tetap di Selangor (bil air, bil eletrik, dsb),” katanya.
Senarai klinik itu boleh diperiksa di sini.
Antara langkah lain termasuklah melanjutkan waktu operasi bilik Covid-19 di Shah Alam sehingga jam 7 petang.
Selain itu, langkah juga diambil untuk mengurangkan kesesakan di pusat tahanan imigresen di Selangor dengan mewujudkan pusat sementara untuk menempatkan tahanan dan mengelak kesesakan.
Himpunan massa pula walaupun masih dibenarkan maksimum 250 orang perlu mematuhi penjarakan fizikal dan SOP lain, kata Amirudin lagi.
Kerajaan negeri bagaimanapun tidak menggalakkan himpunan besar berlaku, tambahnya.
Selangor hari ini merekodkan 31 kes baharu Covid-19 dan dua kluster baharu, Seri Setia dan Seri Anggerik.
Lima kawasan di Selangor diletakkan dalam zon kuning Covid-19 iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang, Kuala Langat, dan Hulu Selangor. – 2 Oktober, 2020.
Komen